Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Ukur dan Pemetaan

Nombor Soalan

60

Soalan

YB Sr. HAJI MOHD APANDI BIN MOHAMAD​ minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan senarai usaha untuk menjadikan JUPEM sebagai pemegang taruh dan 'Custodian' kepada data-data ukur utiliti bawah tanah seperti mana ukur hakmilik, topografi negara dan sempadan maritim antarabangsa.​​​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman, Jemaah Menteri pada 24 Ogos 1994 dan 14 Januari 1998 telah bersetuju, antara lain supaya semua agensi penyedia utiliti perlu membekalkan data-data utiliti mereka kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk disimpan dalam persekitaran Geographic Information System (GIS) bagi membolehkan penggunaannya di seluruh negara. 

2. Antara usaha-usaha yang diambil oleh Kementerian ini untuk menjadikan JUPEM sebagai pemegang taruh dan Custodian data-data utiliti bawah tanah adalah seperti berikut:

i) menubuhkan satu seksyen di JUPEM yang menguruskan penyimpanan data utiliti iaitu Seksyen Pemetaan Utiliti pada tahun 2006, kini dikenali sebagai Bahagian Pemetaan Utiliti;

ii) membangunkan Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan (PADU) pada tahun 2007 untuk menyimpan pusat repositori data-data utiliti bawah tanah di seluruh negara;

iii) mengeluarkan garis-garis panduan dari semasa ke semasa berkaitan pengurusan dan pengukuran pepasangan utiliti;

iv) menyediakan tenaga pakar iaitu Juruukur Tanah Berlesen yang mempunyai sijil kompetensi khas untuk melaksanakan kerja-kerja ukur pengesanan utiliti bawah tanah;

v) melaksanakan projek-projek pembangunan bagi pemantapan fasiliti dan infrastruktur di Bahagian Pemetaan Utiliti, JUPEM seperti membangunkan Pusat Panggilan Setempat (Call Center) sebagai satu platform perkongsian data yang lengkap di mana data-data utiliti boleh diperolehi sebelum kerja-kerja pengorekan tanah dibuat supaya dapat mengelakkan bencana dan masalah gangguan perkhidmatan akibat kerosakan saluran utiliti bawah tanah.  Projek ini dijangka siap pada April 2021;

vi) memperluaskan aktiviti pemetaan utiliti di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia dan W.P. Labuan mulai tahun 2020; dan

vii) melaksanakan kajian polisi pemetaan utiliti bawah tanah dengan fokusnya kepada penetapan hala tuju pemetaan utiliti bawah tanah di peringkat nasional, mentadbir urus dan mengawal selia pemetaan utiliti agar pematuhan terhadap perkongsian data utiliti, arahan, peraturan dan spesifikasi yang ditetapkan dapat dikuatkuasakan. Kajian ini dijangka siap pada Mac 2021. 

3. Untuk makluman, Agensi Penyedia Utiliti seperti Syabas, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Gas Malaysia Berhad, Indah Water Konsortium dan Petronas merupakan pembekal utama data-data utiliti kepada JUPEM selaras dengan keputusan Jemaah Menteri 1994 dan 1998.

4. Semua Kementerian dan Agensi Penyedia Utiliti adalah disaran untuk melantik Juruukur Tanah Berlesen yang mempunyai sijil kompetensi khas untuk melaksanakan kerja-kerja ukur pengesanan pepasangan utiliti bawah tanah bagi memastikan data-data utiliti yang diperolehi adalah berkualiti serta memenuhi standard dan spesifikasi pemetaan utiliti yang ditetapkan.

Sekian, terima kasih.

Attachments