Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) merupakan peneraju kepada pengurusan mampan sumber asli negara dan dengan itu berperanan menggerakkan usaha untuk membangunkan industri mineral sebagai salah satu sumber ekonomi baharu negara.
2. Pada tahun 2019, pengeluaran mineral negara adalah bernilai RM6.32 bilion. Nilai ini mencatatkan pertambahan 6.4 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu RM5.94 bilion. Industri perlombongan dan Pengkuarian mineral (tidak termasuk minyak dan gas) menyumbang 0.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun 2019.
3. Pada masa ini, terdapat tiga (3) kategori mineral utama yang terdapat dalam negara dan dilombong secara komersial iaitu mineral berlogam, mineral bukan logam dan mineral tenaga. Anggaran keseluruhan nilai rizab sumber mineral negara adalah RM4.11 trillion yang dinilai berdasarkan harga semasa. Nilai rizab ini akan berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada harga pasaran mineral dan kajian pemetaan berterusan oleh KeTSA melalui JMG.
4. Dalam usaha memastikan industri mineral memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi negara dan daya saing globalnya sentiasa teguh selaras dengan matlamat Dasar Mineral Negara 2 (DMN 2), kerajaan melalui agensi-agensinya akan melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:
(a) menggalakkan lebih banyak aktiviti ekplorasi sumber mineral dijalankan terutamanya kajian dan pembangunan ke atas mineral strategik seperti elemen nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE);
(b) membangunkan produk nilai tambah dalam setiap rantaian nilai termasuk penggunaan teknologi baru bagi mengurangkan impak negatif industri ini terhadap alam sekitar; dan
(c) memantapkan pengurusan sumber mineral melalui pengukuhan undang-undang dan governan untuk menjadikan sumber mineral sebagai sumber kekayaan baharu negara.
5. Sepertimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, sumber unsur nadir bumi (REE) contohnya merupakan salah satu mineral strategik yang memiliki permintaan tinggi di kalangan pemain-pemain industri bagi tujuan kegunaan dalam sektor automotif, pembinaan, pengilangan, teknologi dan lain-lain.
6. Jika dilihat dari keadaan situasi semasa, permintaan sumber REE dijangka meningkat dari tahun ke tahun berikutan daripada revolusi industri yang memasuki era industri IR4.0. Di samping itu, taburan sumber REE yang hanya wujud di sesetengah negara, menjadi penentu kepada kawalan bekalan dan permintaan (supply and demand) di peringkat global dan ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan harga REE dunia.
7. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Malaysia memiliki potensi sumber REE untuk dibangunkan. Anggaran nilai sumber rizab REE mencecah USD182 bilion iaitu bersamaan dengan RM747.2 bilion.
8. Pada masa ini, Kementerian telah menyediakan kerangka dasar untuk pembangunan industry REE dan seperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum, ia telah dibentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Januari 2020 yang lalu. Bagi menggerakan usaha ini, Kementerian telah berkerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam membangunkan pelan tindakan pembangunan industry NR-REE di Malaysia. Disamping itu, Kementerian melalui JMG turut menyediakan SOP dan amalan perlombongan terbaik (best mining practices) sebagai persediaan untuk pelaksanaan perlombongan NR-REE agar ia dapat dikawal selia secara menyeluruh.
9. Akhir sekali, perancangan pembangunan industri NR-REE turut diletakan sebagai salah satu agenda utama Kementerian dalam membangunkan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030). Gerak kerja yang dirangka dalam tempoh 10 tahun akan menyaksikan perubahan transformasi industri mineral ke arah impak lebih tinggi terhadap pembangunan ekonomi dan pendapatan negara disamping meningkatkan taraf hidup rakyat.
Sekian, terima kasih.