Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

134

Soalan

YB DATUK JOHN AMBROSE​ minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan perancangan jangka panjang Kementerian dalam memelihara serta memulihara kawasan hutan sebagai suatu cara semula jadi bagi mengatasi masalah​ banjir yang sering kali berlaku ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua, 

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk mewartakan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebagai Hutan Tadahan Air (HTA) berdasarkan peruntukan Seksyen 10 Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. Sehingga 31 Disember 2019, seluas 905,772.13 hektar kawasan di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air (HTA) di Semenanjung Malaysia. Namun demikian, tiada pengelasan khusus untuk Hutan Tadahan Air (HTA) bagi Sabah dan Sarawak dalam Enakmen Hutan Sabah 1968 dan Ordinan Hutan Sarawak 2015 masing-masing. 

2. Sehingga kini, Malaysia masih mempunyai kawasan berhutan seluas 18.27 juta hektar atau 55.3 peratus daripada keluasan tanah negara. Daripada jumlah tersebut, keluasan kawasan HSK adalah 10.92 juta hektar dan keluasan Kawasan Perlindungan adalah 3.31 juta hektar. Kerajaan Negeri Sabah telah mewartakan seluas 3.81 juta hektar sebagai Hutan Simpan dan Kawasan Perlindungan manakala Kerajaan Negeri Sarawak telah mewartakan seluas 5.02 juta hektar sebagai HSK dan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya. Manakala, seluas 5.39 juta hektar telah diwartakan sebagai HSK dan Kawasan Perlindungan di Semenanjung Malaysia. 

3. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dalam usaha memelihara khazanah hutan negara dan antara perancangan jangka panjang dan berterusan yang sedang dilaksanakan oleh KeTSA adalah seperti berikut: 

(i) mempergiatkan usaha ke arah mewartakan kawasan-kawasan berhutan sebagai HSK; 

(ii) meneruskan aktiviti rawatan hutan dan silvikultur dalam HSK; 

(iii) mempertingkatkan usaha pemeliharaan dan pemulihan kawasan hutan melalui Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Terosot; 

(iv) menyediakan Rancangan Pengurusan Hutan Negeri setiap 10 tahun bagi tujuan pentadbiran, pengurusan dan pembangunan HSK secara berkekalan; 

(v) melaksanakan dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan; 

(vi) menyedia, melaksana dan memantau Catuan Tebangan Tahunan (CTT) setiap tempoh Rancangan Malaysia bagi kawasan hutan pengeluaran dalam HSK;

(vii) mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) perhutanan termasuk kaedah pengusahasilan yang berimpak rendah; 

(viii) melaksanakan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies yang Bersesuaian di Pesisiran Pantai Negara semenjak tahun 2005; dan 

(ix) memperkasakan amalan pengurusan hutan berkekalan dengan membangun dan mengaplikasikan teknologi terkini yang bersesuaian dengan perhutanan.

​Sekian, terima kasih.

Attachments