Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

170

Soalan

TUAN KHALID ABD SAMAD [SHAH ALAM] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan :-

(a)    berapa jumlah hotel-hotel dengan lapangan golf dan pusat membeli-belah yang memiliki bumbung dan tanah terbiar yang dapat diubah menjadi kebun di bumbung dan tempat di mana PV solar dapat dipasang.; dan​

(b)    bolehkah Kerajaan bersetuju untuk memberikan insentif pinjaman atau hibah tambahan untuk jenis inisiatif yang ditujukan untuk sektor hotel dan pelancongan yang memasang PV Solar tersebut.


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,​

1. Malaysia mempunyai keluasan bumbung yang besar yang berpotensi untuk tujuan pemasangan sistem solar PV. Walau bagaimanapun, tidak semua bumbung bagi premis hotel, pusat membeli belah dan lapangan golf adalah sesuai untuk pemasangan solar PV. Kajian kebolehlaksanaan perlu dibuat oleh penyedia perkhidmatan solar untuk mengenal pasti potensi pemasangan solar PV di mana-mana bangunan tersebut.

2. Kerajaan telah memperkenalkan Program Net Energy Metering atau NEM yang membolehkan pengguna memasang sistem solar PV di bumbung premis dan menjana tenaga solar untuk kegunaan sendiri. Lebihan tenaga yang tidak digunakan pula boleh dijual kepada pihak utiliti dan dikira sebagai kredit tenaga dalam bil elektrik untuk tempoh 12 bulan.​

3.  Di samping itu, syarikat-syarikat solar juga menawarkan beberapa pilihan model pembiayaan seperti berikut:

i) outright purchase -  pengguna mengeluarkan modal awal dan  membeli sistem solar PV daripada penyedia perkhidmatan;

ii) solar leasing – pengguna membayar secara bulanan kepada penyedia perkhidmatan dalam tempoh tertentu, bergantung kepada saiz kapasiti panel solar yang dipasang; dan

iii) solar PPA – model perniagaan ini juga dipanggil zero CAPEX solution, di mana pengguna tidak perlu mengeluarkan sebarang modal awal atau menjelaskan bayaran bulanan kepada penyedia perkhidmatan. Sebaliknya, pengguna akan membeli tenaga elektrik yang dijana daripada sistem solar PV yang dipasang pada kadar tarif yang lebih rendah berbanding kadar tarif pihak utiliti, untuk satu tempoh kontrak yang dipersetujui bersama.

4. Mengambil kira kemampuan kewangan serta potensi solar di bumbung premis masing-masing, pengguna elektrik daripada sektor hotel dan pelancongan yang ingin memasang sistem solar PV boleh memilih mana-mana opsyen pembiayaan yang paling bersesuaian.

Sekian, terima kasih.

Attachments