Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

184

Soalan

TUAN LIM GUAN ENG [ BAGAN ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan keluasan hutan simpan yang diwartakan, yang dikeluarkan dari warta dan juga kawasan tadahan air setiap tahun sejak 2010 dan apakah tindakan yang diambil untuk melindungi hutan simpan dan kawasan tadahan air daripada dilenyapkan oleh Kerajaan negeri.​

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Manakala, bidang kuasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) adalah dalam memberikan nasihat teknikal mengenai pengurusan dan pembangunan hutan serta menjalankan penyelidikan dan khidmat latihan.

2. Walau bagaimanapun, KeTSA sentiasa komited dalam usaha memelihara khazanah hutan negara dan memastikan sasaran dan komitmen negara seperti yang dinyatakan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan tercapai.

3. Berdasarkan rekod JPSM, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak, seluas 205,672.74 hektar telah berjaya diwarta masuk sebagai hutan simpanan kekal (HSK) manakala seluas 658,324.23 hektar telah diwarta keluar daripada HSK daripada tahun 2010 hingga 2020.

4. Majlis Perhutanan Negara pada tahun 1992 dan 1996 telah memutuskan supaya semua negeri di Semenanjung Malaysia mengenal pasti kawasan dalam HSK yang sesuai sebagai kawasan tadahan air dan mengelaskan kawasan tersebut sebagai hutan tadahan air (HTA) mengikut peruntukan perenggan 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. Kawasan ini dikategorikan sebagai hutan perlindungan di mana sebarang aktiviti pengusahasilan hutan tidak dibenarkan. HSK yang telah dikenal pasti sesuai untuk dikelaskan di bawah fungsi kelas HTA adalah seluas 1,046,110.85 hektar. Sehingga 31 Disember 2020, seluas 906,629.13 hektar kawasan di dalam HSK telah diwartakan sebagai HTA. 

5. Antara langkah-langkah yang diambil bagi memelihara dan mengekalkan hutan-hutan simpan oleh KeTSA melalui JPSM dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri adalah seperti berikut:

(i) mempergiatkan usaha ke arah mewartakan kawasan-kawasan berhutan baru sebagai hutan simpanan kekal (HSK) dengan sasaran untuk meningkatkan jumlah kawasan HSK di Semenanjung Malaysia kepada 5 juta hektar; 
(ii) mempertingkatkan usaha pemeliharaan dan pemulihan kawasan berhutan melalui Projek Central Forest Spine (CFS); 
(iii) menyediakan peruntukan sebanyak RM60 juta pada tahun 2019 dan RM70 juta pada tahun 2021 kepada negeri-negeri yang mengambil usaha melindungi kawasan hutan tadahan air dan kawasan perlindungan sedia ada dan menambah kawasan perlindungan yang baharu. Insentif ini diagihkan melalui instrumen Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT);
(iv) menjana pendapatan melalui potensi baharu selain daripada kayu balak termasuk inisiatif REDD Plus dan bayaran bagi perkhidmatan ekosistem (Payment for Ecosystem Services – PES) bagi mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti pembalakan; dan
(v) kerjasama dan libat urus dengan Kerajaan Negeri melalui platform Majlis Tanah Negara untuk menyelaras amalan pengurusan dan penggunaan sumber hutan secara terancang, rasional dan berkesan selaras dengan keperluan untuk memelihara hutan sebagai sumber semula jadi.

Sekian, terima kasih.
    

Attachments