Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

303

Soalan

TUAN NOOR AMIN BIN AHMAD [ KANGAR ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan berapa luas kawasan pengusahasilan balak dibuat mengikut tahun dan negeri sejak 5 tahun lalu dan berapa luas penanaman semula dibuat di kawasan-kawasan tebangan ini.

 

 


Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Kawalan pembukaan kawasan hutan untuk tujuan pengusaha hasilan dilaksanakan melalui mekanisme Catuan Tebangan Tahunan (CTT). CTT berfungsi untuk mengimbangi jumlah pengeluaran kayu dengan keupayaan dan keluasan kawasan hutan pengeluaran dalam hutan simpanan kekal (HSK), yang diputuskan dalam Majlis Tanah Negara (MTN) pada setiap tempoh Rancangan Malaysia Lima Tahun. Penetapan CTT adalah berasaskan kepada keupayaan pemulihan semula jadi (natural regeneration capacity) kawasan yang diusaha hasil. Oleh yang demikian, pembukaan kawasan hutan dalam HSK dilaksanakan dengan berpandukan kepada kadar CTT yang telah ditetapkan.

2. Dalam tempoh RMKe-11 (tahun 2016 hingga tahun 2020), Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-71 yang bersidang pada 14 Disember 2015 telah bersetuju dengan penetapan CTT bagi Semenanjung 41,888 hektar setahun, Sabah seluas 50,000 hektar setahun dan Sarawak seluas 155,000 hektar setahun.

3. Manakala bagi tempoh RMKe-12 (tahun 2021 hingga tahun 2025), Mesyuarat MTN Ke-77 yang bersidang pada 8 September 2020 telah menetapkan CTT bagi Semenanjung Malaysia seluas 37,710 hektar setahun, Sabah seluas 50,000 hektar setahun dan Sarawak seluas 145,000 hektar setahun. Berdasarkan rekod daripada tahun 2016 hingga 2020, kawasan hutan yang telah diusahasil di Semenanjung Malaysia adalah seluas 158,971 hektar, di Sabah seluas 106,671 hektar dan di Sarawak seluas 501,032 hektar. ​

4. Berdasarkan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM) di bawah Sistem Pengurusan Memilih (Selective Management System - SMS) untuk Semenanjung dan Sistem Tebangan Memilih (Selective Felling System - SFS) untuk Sabah dan Sarawak, aktiviti bancian selepas tebangan (Post-F) akan dilaksanakan bagi menentukan keperluan rawatan silvikultur selepas pembalakan. Bagi kawasan pembalakan yang memerlukan rawatan, salah satu kaedah rawatan yang dilaksanakan adalah tanaman mengaya (enrichment planting). Rawatan tanaman mengaya akan membantu pemulihan sesuatu kawasan hutan miskin untuk mencapai tahap yang dikehendaki terutamanya dari segi komposisi spesies berpasaran dan bermutu tinggi. Berdasarkan rekod daripada tahun 2016 hingga 2020, kawasan HSK yang telah dibuat penanaman semula melalui aktiviti tanaman mengaya ini adalah seluas 1,500.84 hektar di Semenanjung Malaysia, di Sabah seluas 33,351 hektar dan di Sarawak seluas 87,961.18 hektar.

Sekian, terima kasih.

 

Attachments