Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

434

Soalan

PUAN TERESA KOK SUH SIM [SEPUTEH] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan saiz tanah di bawah hutan simpanan kekal yang telah diceroboh di setiap negeri di Malaysia daripada tahun 2015 – September 2021.

 


Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Manakala, bidang kuasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) adalah dalam memberikan nasihat teknikal mengenai pengurusan dan pembangunan hutan serta menjalankan penyelidikan dan khidmat latihan. 

2. KeTSA melalui JPSM dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri memandang serius isu penerokaan dan pencerobohan haram khususnya yang melibatkan hutan simpanan kekal (HSK). Pada masa ini penjenayah yang melakukan penerokaan dan pencerobohan haram boleh didakwa berdasarkan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968) di Sabah. Jumlah keluasan HSK yang diceroboh bagi tahun 2015 sehingga 31 September 2021 di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 6,793.13 hektar, di Sabah adalah sebanyak 10,691.18 hektar dan di Sarawak adalah sebanyak 737.11 hektar. ​

3. Antara langkah-langkah pemuliharaan yang telah diambil untuk kawasan HSK yang telah diceroboh adalah seperti berikut:

i) melaksanakan program perhutanan sosial yang melibatkan komuniti setempat dalam pemeliharaan hutan, pemuliharaan kawasan hutan terosot dan mengawal pencerobohan hutan dengan lebih berkesan;

ii) melaksanakan program restorasi, tebus guna dan pemulihan kawasan hutan terosot. Kawasan yang telah diceroboh kebiasannya mempunyai dirian hutan yang sedikit dan perlu dilaksanakan intervensi menerusi usaha-usaha pemuliharaan bagi memastikan kualiti hutan sentiasa baik dan terpelihara; dan ​

iii) melaksanakan tanaman mengaya (enrichment planting) untuk membantu pemuliharaan kawasan hutan telah diceroboh untuk mencapai tahap seperti sedia ada.


Sekian, terima kasih. 


   

Attachments