Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

498

Soalan

DATUK ZAKARIA BIN MOHD EDRIS @ TUBAU [LIBARAN] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan bagaimanakah Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) dan RMK-12 dapat mempertingkatkan kemampanan tenaga di sektor elektrik, terutamanya kualiti pembekalan elektrik di Sabah serta kawasan pedalamannya.​

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Secara umumnya, mineral tenaga iaitu arang batu telah dikenalpasti boleh dibangunkan secara ekonomik di negeri Sabah dan mempunyai potensi untuk digunakan bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik. 

2. Malaysia dianggarkan mempunyai sumber mineral arang batu bernilai RM120 billion. Mengikut rekod Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Negeri Sabah sahaja dianggarkan mempunyai rizab arang batu kira-kira 416.6 juta tan metrik. Walau bagaimanapun, tiada perlombongan arang batu yang aktif pada masa ini di Negeri Sabah. 

3. Walaupun arang batu di Sabah mempunyai potensi untuk dibangunkan serta digunakan bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik, namun setakat ini Kerajaan Negeri Sabah tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan loji jana kuasa arang batu di Sabah. 

4. Cadangan penjanaan berasaskan arang batu ini sebenarnya telah lama dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan, terutamanya bagi mengatasi masalah kekurangan penjanaan di Pantai Timur Sabah. Namun demikian, ia telah mendapat bantahan daripada rakyat negeri Sabah, terutamanya aktivis-aktivis alam sekitar.

5. Walau bagaimanapun, RMKe-12 telah menggariskan dengan jelas perancangan Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi masalah kekurangan penjanaan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah. Pihak Kementerian kini sedang mengenal pasti opsyen-opsyen bagi menambah kapasiti penjanaan di Pantai Timur Sabah yang diperlukan selewat-lewatnya pada tahun 2025/2026, antaranya melalui pembinaan loji jana kuasa baharu. ​

6. Berhubung pembekalan elektrik di luar bandar pula, ia adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pembangunan Luar Bandar. 

7. Sungguhpun begitu, antara teras utama di bawah Pelan TIM 2021-2030 adalah penambahan nilai terhadap sumber mineral dimana mineral yang diperolehi daripada sumber tempatan akan diproses daripada keadaan mentah sehinggalah kepada mineral yang diproses, produk separa siap yang menjadi input kepada industri lain dan produk siap berasaskan mineral. Oleh itu, pelan TIM 2021-2030 boleh dijadikan pemangkin kepada pembangunan industri tempatan untuk membekalkan peralatan, alat ganti atau bahan guna habis (consumables) yang digunakan untuk projek berkaitan pembangunan kapasiti pembekalan tenaga elektrik di Sabah. ​

8. TIM 2021-2030 juga menekankan pembangunan mineral-mineral strategik seperti Unsur Nadir Bumi yang merupakan bahan utama dalam penghasilan bateri dan magnet kekal. Ini juga dapat menyokong meningkatkan pembangunan industri tenaga boleh baharu (Renewable Energy) untuk memastikan kualiti pembekalan elektrik di Sabah serta kawasan pedalamannya.


Sekian, terima kasih.

     

Attachments