Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

13 December 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

21

Soalan

Dato Zaiedi Haji Suhaili minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan secara terperinci Program Jelajah Restorasi Hijau Sarawak (Le Tour De Restoration) - Greening Sarawak sehingga Oktober 2021 dan perancangan pada tahun 2022 supaya langkah-langkah menghijaukan Sarawak menjadi pemangkin keseimbangan pertumbuhan ekonomi Sarawak.​​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Program Jelajah Restorasi Hijau Sarawak (Le Tour De Restoration) adalah salah satu inisiaitif di bawah Program Restorasi Landskap Hutan Sarawak yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Inisiatif ini juga adalah selari dengan Agenda Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA). Program Jelajah Restorasi Hijau Sarawak telah dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak pada 30 Oktober 2021 sempena dengan Bulan Inovasi Sarawak peringkat Jabatan Hutan Sarawak (JHS).​

2. Program Jelajah Restorasi Hijau Sarawak ini dilaksanakan di setiap Bahagian di Sarawak bertemakan Mobile Exhibition yang menggunakan bas pameran bergerak. Program ini telah bermula di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 30 Oktober 2021 dan berakhir di Bahagian Sri Aman pada 25 November 2021. Antara program yang diadakan adalah pengagihan anak pokok kepada orang awam, mengedarkan bahan promosi dan pameran interaktif begerak.

3. Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak telah menyenaraikan Restorasi Landskap Hutan yang kini telah dijenamakan semula sebagai program Penghijauan Sarawak sebagai salah satu program di bawah Strategi Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 sehingga tahun 2030. Selain daripada aktiviti penanaman bagi tujuan restorasi di kawasan hutan yang terosot, antara pelan yang telah dirancang bagi memastikan Program Penghijauan Sarawak menjadi pemangkin keseimbangan pertumbuhan ekonomi Sarawak adalah seperti berikut:

(i) menubuhkan lebih banyak tapak semaian baru pada tahun 2022 bagi memastikan bekalan berterusan anak pokok terutamanya spesies yang bernilai tinggi. Penubuhan tapak semaian ini juga telah memberi peluang pekerjaan kepada komuniti setempat dan meningkatkan pendapatan penduduk melalui pembelian anak pokok dan biji benih;

(ii) menguatkuasakan Pekeliling Pengarah Hutan Sarawak bagi aktiviti restorasi di kawasan lesen di mana pelesen dikehendaki menanam semula pokok selepas penebangan;

(iii) mempergiatkan program promosi aktiviti penanaman pokok serta menggalakkan penglibatan pelbagai pihak meliputi agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan, institusi-institusi pendidikan serta orang awam;

(iv) meneroka teknologi baru seperti Seed Ball yang menggunakan dron sebagai kaedah baru pelaksanaan restorasi terutamanya di kawasan penanaman yang sukar diakses seperti kawasan berbukit bukau;(v) bekerjasama dengan komuniti setempat yang tinggal berhampiran dengan Hutan Simpan Kekal (HSK) dalam aktiviti berkaitan restorasi seperti penanaman, penyelenggaraan, tapak semaian dan bekalan bahan tanaman;

(vi) menyasarkan 1 juta hektar hutan industri menjelang tahun 2025 bagi memastikan bekalan kayu balak mencukupi dan berterusan kepada industri perkayuan sekali gus mengurangkan tekanan untuk menebang hutan semula jadi; dan

(vii) mengkaji pendekatan lain bagi mempelbagaikan pendapatan kerajaan melalui sumber hutan dan sekaligus mengurangkan aktiviti pembalakan.

Sekian, terima kasih.

Attachments