Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

14 December 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Ukur dan Pemetaan

Nombor Soalan

57

Soalan

Sr. Haji Mohd Apandi bin Mohamad minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan tindakan yang diambil Kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan penyelesaian sempadan maritim antara negeri-negeri di Semenanjung terutama negeri Kelantan dan Terengganu.​​​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Dalam usaha untuk menyegerakan penyelesaian sempadan maritim antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan beberapa tindakan yang antara lainnya adalah seperti berikut:

(i) Menjalankan kajian teknikal dan pengesanan dokumen lama bagi penentuan persempadanan maritim antara negeri-negeri yang berdampingan di Semenanjung Malaysia; dan

(ii) Mengadakan penerangan dan engagement kepada negeri-negeri yang terlibat berkenaan kepentingan untuk menyegerakan penyelesaian persempadanan maritim negeri masing-masing melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-Negeri (JKPPSBN), Mesyuarat Jawatankuasa Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-Negeri (JPPSBN) dan Mesyuaarat Jawatankuasa Teknikal Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-Negeri (JBT).

2. Dalam hubungan ini, persempadanan darat antara Negeri Kelantan Darul Naim dan Negeri Terengganu Darul Iman telah dimuktamadkan dan ditandatangani pada 20 Jun 2019. Selanjutnya, untuk memulakan sempadan maritim antara negeri Kelantan dan Terengganu, titik akhir sempadan darat tersebut perlu diunjurkan sehingga ke tikas air surut.

3. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah menyediakan draf Perjanjian Sempadan Maritim untuk persetujuan kedua - dua kerajaan negeri. Dalam hal ini, kerajaan negeri Terengganu telah bersetuju dengan draf Perjanjian Sempadan Maritim pada 20 Januari 2020 semasa Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Teknikal (JBT) Penandaan dan Pengukuran Sempadan Antara Negeri Terengganu dan Kelantan Bil. 1/2020. Sementara itu pula, Kerajaan negeri Kelantan pada 26 Februari 2020 bersetuju meluluskan draf Perjanjian Sempadan Maritim tetapi dengan pindaan ke atas draf tersebut kerana membuat ketetapan menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dan penambahan pada Artikel 3 - Penerimaan Sempadan.

4. Setakat ini, belum ada tarikh persetujuan sempadan maritim antara Negeri Kelantan dan Terengganu yang dicapai dan ia tertakluk kepada persetujuan antara kedua - dua Pihak Berkuasa Negeri (PBN) yang berkenaan. Bagi memulakan inisiatif ini, pihak KeTSA akan menyelaras mesyuarat berkaitan agar kesepakatan dalam memuktamadkan sempadan maritim antara kedua-dua negeri dapat dicapai.

Sekian, terima kasih.

Attachments