Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

15 December 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

8

Soalan

TUAN BALASUBRAMANIAM A/L NACHIAPPAN minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan berapa jumlah Tapak Rizab Biosfera yang terkini dan adakah terdapat peruntukan undang-undang bagi mereka yang mencerobohi tapak tersebut.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sehingga tahun 2021 Malaysia telah berjaya menyenaraikan tiga tapak rizab biosfera di bawah program Man and the Biosphere (MAB), The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).

2. Penyertaan Malaysia dalam program MAB bermula pada tahun 2009 melalui pengiktirafan Tasik Chini, Pahang sebagai tapak rizab biosfera pertama di Malaysia dengan keluasan 6,922.97 hektar pada 26 Mei 2009. Banjaran Crocker di Sabah pula telah diiktirafkan sebagai tapak rizab biosfera yang kedua di Malaysia pada 12 Jun 2014 merangkumi keluasan 350,584 hektar. Manakala, Bukit Bendera, Pulau Pinang telah diisytiharkan sebagai tapak rizab biosfera ketiga di Malaysia pada 15 September 2021 dengan keluasan 12,481 hektar.

3. Setiap tapak rizab biosfera yang telah diisytiharkan oleh MAB perlu menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh Statutory Framework of the World Network of Biosphere Reserves dimana ia perlu menjalankan tiga  fungsi utama iaitu:

(i) pemuliharaan dan konservasi biodiversiti melalui usaha-usaha konservasi landskap ekosistem, spesies dan kepelbagaian genetik;

(ii) menyokong pembangunan mampan dengan menggalakkan penjanaan ekonomi dan memperbaiki taraf hidup komuniti setempat seiring dengan kemampanan ekologi; dan

(iii) menyediakan persekitaran yang menyokong aktiviti penyelidikan, pemantauan, pendidikan, perkongsian maklumat di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

4. Tiada peruntukan undang-undang yang khusus bagi tapak rizab biosfera MAB di Malaysia. Namun, sekiranya kawasan di tapak rizab MAB tersebut diwartakan di bawah Hutan Simpanan Kekal (HSK) atau Rizab Hidupan Liar (RHL), ianya termaktub di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

5. Di samping itu, kawalan perancangan adalah berdasarkan komitmen yang telah dimasukkan di dalam dokumen dossier yang telah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri kepada UNESCO yang perlu dilaksana dan dipantau melalui Rancangan Tempatan dan Rancangan Struktur Negeri.

Sekian, terima kasih.

Attachments