Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

15 December 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Ukur dan Pemetaan

Nombor Soalan

37

Soalan

Datuk Paul Igai minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan bilakah kerja pengukuran sempadan darat antarabangsa akan selesai sepenuhnya dan memandangkan proses kerja itu memakan masa agak lama, apakah cabaran yang dihadapi dalam usaha penandaan dan pengukuran sempadan darat antarabangsa negara dengan Indonesia, Thailand dan Brunei.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Sehingga kini status kerja-kerja pengukuran persempadanan darat antarabangsa Malaysia adalah seperti berikut:

(i) Bagi sektor sempadan antara Malaysia dan Thailand, kerja-kerja ukuran persempadanan darat telah dimulakan pada 6 Julai 1973 dan telah siap pada 26 September 1985 melibatkan jumlah jarak sejauh 551.5 km. Sebanyak 11 Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani bagi menerima ukuran bersama tersebut. Walau bagaimanapun terdapat jarak sepanjang 13 km yang belum dimuktamadkan melibatkan kawasan pertikaian di Bukit Jeli. Manakala bagi pengukuran persempadanan di sepanjang Sungai Golok, kerja-kerja ukuran telah dimulakan pada 1 November 2000 dan siap pada 30 September 2009 yang melibatkan jarak sejauh 106.1 km.  Sehingga kini Memorandum Persefahaman (MoU) masih belum ditandatangani dan sedang dalam peringkat penyediaan dan perbincangan di Peringkat Jawatankuasa Sempadan Bersama (LBC) kedua-dua negara;

(ii) Bagi kerja-kerja pengukuran persempadanan antara Malaysia dan Indonesia di Sektor Sabah - Kalimantan Utara telah bermula pada 9 September 1975 dan berakhir pada 13 April 1994 melibatkan jarak sejauh 371 km. Manakala kerja-kerja pengukuran bagi Sektor Sarawak - Kalimantan Barat pula telah bermula pada 10 September 1975 dan berakhir pada 20 September 2001 yang melibatkan jarak sejauh 1,649 km. Kerja-kerja ukuran di kedua-dua sektor berkenaan telah selesai diukur dan dimuktamadkan kecuali di sembilan (9) kawasan Outstanding Boundary Problems (OBP) dan sempadan sungai di antara tanda sempadan West Pillar dan AA2; dan

(iii) Bagi persempadanan darat antara Malaysia dan Brunei Darussalam, kerja-kerja ukuran telah dimulakan pada April 2014 dan sehingga kini sebanyak 84.21 km telah berjaya diselesaikan. Walau bagaimanapun ukuran berkenaan masih belum dimuktamadkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU). Berdasarkan jadual perancangan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak, dijangka kerja-kerja pengukuran ini akan dapat diselesaikan pada tahun 2034.

2. Di antara cabaran utama yang dihadapi oleh pihak JUPEM semasa melaksanakan pengukuran sempadan antarabangsa adalah seperti:

(i) Masalah deskripsi sesuatu perjanjian zaman kolonial yang tidak jelas yang menyebabkan timbulnya perbezaan tafsiran sempadan di antara kedua-dua negara  yang berkaitan;

(ii) Terdapat dokumen-dokumen lama yang tidak dijumpai bagi membantu menentukan kedudukan sebenar sempadan berdasarkan perjanjian asal; dan

(iii) Memastikan tanda-tanda sempadan sentiasa berada dalam kedudukan asal dan tidak berlaku kehilangan, kerosakan atau teranjak akibat dari aktiviti pembangunan dan pertanian yang dijalankan di kawasan berhampiran sempadan antarabangsa.

3. Justeru itu, setakat ini tidak dapat dipastikan tarikh sebenar kerja-kerja pengukuran keseluruhan sempadan darat antarabangsa Malaysia akan dapat diselesaikan kerana ianya melibatkan persetujuan bersama antara Malaysia dengan negara jiran yang berkaitan terutamanya melibatkan kawasan-kawasan yang menjadi pertikaian.

Sekian, terima kasih.

Attachments