Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

16 December 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Perhutanan, Biodiversiti

Nombor Soalan

62

Soalan

DR. WAN MARTINA BINTI WAN YUSOFF minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah Kerajaan mempunyai perancangan untuk melaksanakan Cukai Karbon ke atas negeri-negeri yang banyak menebang hutan atas nama pembangunan dan wang cukai tersebut dibayar kepada negeri-negeri yang mengekalkan hutan simpan sebagai paru-paru negara.​​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, buat masa ini Kerajaan Persekutuan belum mempunyai keputusan dasar mengenai perancangan untuk melaksanakan cukai karbon. Walau bagaimanapun, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengalu-alukan sekiranya Kementerian Kewangan (MoF) dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) mengkaji kesesuaian bagi melaksanakan cukai karbon sebagai insentif kepada negeri-negeri yang mengekalkan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

2. Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan insentif kewangan tambahan melalui instrumen Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) mulai tahun 2019 kepada Kerajaan-kerajaan Negeri untuk melaksanakan program dan projek bagi menjamin kelestarian biodiversiti. Peruntukan yang disalurkan dikhususkan bagi tujuan pelaksanaan projek pemeliharaan kawasan perlindungan hutan dan ekologi marin.

3. Sebanyak RM60 juta telah diperuntukkan pada tahun 2019 dan RM70 juta diperuntukkan bagi tahun 2021 kepada semua Kerajaan Negeri dan penyaluran dilaksanakan melalui Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP). Peruntukan EFT berjumlah RM70 juta akan disediakan setiap tahun kepada negeri-negeri sebagai satu bentuk pemberian khusus di bawah Perbelanjaan Mengurus Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mulai tahun 2022. Pada masa ini, pembahagian dilaksanakan berdasarkan formula yang mengambilkira keluasan kawasan perlindungan hutan dan marin.

4. Pelaksanaan EFT menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam konservasi biodiversiti serta menggalakkan Kerajaan Negeri mewartakan kawasan perlindungan yang merupakan kawasan penting bagi perkhidmatan ekosistem (ecosystem services) termasuk sebagai kawasan tadahan air dan perlindungan hidupan liar. Pelaksanaan EFT juga adalah selari dengan matlamat Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 (DKBK) yang menyasarkan penyediaan insentif kewangan yang telus dan berasaskan keberhasilan kepada negeri-negeri bagi melaksanakan program konservasi biodiversiti.

5. Selain itu, KeTSA pada masa ini sedang membangunkan Kerangka Kewangan REDD Plus atau REDD Plus Finance Framework (RFF) yang juga berpotensi menjadi satu inisiatif kewangan kepada Kerajaan Negeri bagi mengekalkan dan memulihara hutan serta menjamin ekosistem hutan yang berterusan.

6. KeTSA juga telah menubuhkan sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) iaitu Malaysia Forest Fund atau MFF yang akan melaksanakan Kerangka Kewangan REDD Plus di Malaysia. MFF turut berperanan membangun dan melaksanakan model operasi RFF yang efektif dan mampan serta menjana sumber kewangan melalui transaksi pasaran karbon hutan atau forest carbon market bagi membiayai usaha pengekalan, pengurusan, perlindungan dan pemuliharaan hutan oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri.

Sekian, terima kasih.

Attachments