Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

20 December 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

34

Soalan

DR. WAN MARTINA BINTI WAN YUSOFF minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan adakah Kerajaan mempunyai perancangan untuk memperkenalkan bayaran insentif bagi negeri-negeri mengekalkan hutan simpan terbanyak sebagai paru-paru negara.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan insentif kewangan tambahan melalui instrumen Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) mulai tahun 2019 kepada Kerajaan-kerajaan Negeri untuk melaksanakan program dan projek bagi menjamin kelestarian biodiversiti mengikut 9 skop yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

2. Sejak diperkenalkan, sebanyak RM130 juta telah diagihkan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri melalui Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP). Peruntukan EFT berjumlah RM70 juta akan disediakan setiap tahun kepada negeri-negeri mulai tahun 2022 sebagai satu bentuk pemberian khusus yang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan (MoF) di bawah Perbelanjaan Mengurus Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

3. Selain itu, KeTSA pada masa ini sedang membangunkan Kerangka Kewangan REDD Plus atau REDD Plus Finance Framework (RFF) yang merupakan satu inisiatif kewangan kepada Kerajaan Negeri bagi melaksanakan aktiviti mengekalkan dan memulihara hutan serta menjamin ekosistem hutan yang berterusan.

4. KeTSA juga telah menubuhkan sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) iaitu Malaysia Forest Fund atau MFF yang akan melaksanakan Kerangka Kewangan REDD Plus di Malaysia. MFF turut berperanan membangunkan dan melaksanakan model operasi RFF yang efektif dan mampan, serta menjana sumber kewangan melalui transaksi pasaran karbon hutan atau forest carbon market bagi membiayai usaha pengekalan, pengurusan, perlindungan dan pemuliharaan hutan oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri.

Sekian, terima kasih.

Attachments