Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

21 December 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

8

Soalan

DATO' AJIS BIN SITIN minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah tindakan yang bakal diambil terhadap perkampungan-perkampungan masyarakat Orang Asli yang rata-ratanya berada dalam kawasan hutan simpanan kekal di seluruh negara. Kebanyakan penempatan-penempatan tersebut mengandungi kawasan tempat tinggal dan juga kebun-kebun pertanian seperti buah-buahan, getah, kelapa sawit telah diusahakan sejak lebih 50 tahun yang lalu.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Izinkan saya menjawab pertanyaan ini bersekali dengan pertanyaan yang juga daripada YB Senator Dato’ Ajis bin Sitin, No. 14 pada 22 Disember 2021 kerana pertanyaan-pertanyaan ini adalah saling berkait dan merujuk kepada isu yang sama.

2. Dalam menyantuni masyarakat Orang Asli yang bergantung hidup kepada hasil hutan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah memperkenalkan suatu seksyen baharu dalam cadangan pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] iaitu berkenaan kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk mengurangkan, melepaskan atau mengecualikan ses pembangunan hutan kepada Orang Asli. Ini meliputi apa-apa hasil hutan atau kelas hasil hutan yang diambil daripada manamana tanah Kerajaan atau tanah berimilik oleh mana-mana Orang Asli bagi tujuan:​

i) pembinaan dan pembaikan pondok sementara atas manamana tanah yang diduduki secara sah oleh Orang Asli itu;

ii) bagi penyenggaraan kelong menangkap ikan dan tempat mendarat;

iii) bagi kayu api atau maksud domestik Iain; atau

iv) bagi pembinaan atau penyelenggaraan apa-apa kerja bagi faedah bersama Orang Asli.

3. Walau bagaimanapun, pergerakan keluar masuk Orang Asli ke dalam HSK untuk pelbagai tujuan yang tidak munasabah adalah melanggari undang-undang dan perlu mempunyai Permit Memasuki HSK mengikut subseksyen 47(1) Akta 313. Selain itu, masyarakat Orang Asli yang mengambil hasil hutan dari kawasan HSK untuk tujuan komersial ​tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan mengikut subseksyen 15(1) Akta 313 kecuali dengan suatu lesen atau permit yang tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

4. Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 2 Disember 2021 yang lalu telah bersetuju supaya kerajaan-kerajaan negeri mengambil tindakan penguatkuasaan dan menentukan penyelesaian terbaik ke atas aktiviti penerokaan haram di dalam HSK mengikut peruntukan akta, enakmen dan peraturan sedia ada yang sedang berkuat kuasa dan supaya tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian di setiap negeri dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022. Antara langkah penyelesaian yang boleh diambil oleh kerajaan negeri adalah tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan dalam Akta 313 dan perundangan lain yang berkuat kuasa, kebenaran kepada aktiviti tertentu melalui Permit Penggunaan untuk suatu tempoh yang terhad atau pewartaan keluar kawasan penempatan yang wujud dalam HSK tertakluk kepada penggantian kawasan selaras dengan seksyen 11 Akta 313. Pemilihan tindakan yang bersesuaian adalah tertakluk kepada situasi kes.

5. Dalam hubungan ini, dari semasa ke semasa, Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam menangani sebarang isu berkaitan dengan Orang Asli di dalam HSK.

Sekian, terima kasih.
Attachments