Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

23 December 2021

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Biodiversiti, PERHILITAN

Nombor Soalan

3

Soalan

Dato' Isa Bin Ab. Hamid minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan jumlah belia Orang Asli yang telah diambil bekerja di Jabatan Perhilitan dan Jabatan Hutan dalam program Renjer Perintis bagi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dalam melestarikan dan penjagaan hutan negara.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah melaksanakan Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme - BP3) yang melibatkan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bekas polis dan Orang Asli mulai 16 Jun 2020. BP3 turut melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar di kawasan hotspot dalam kawasan perlindungan di Semenanjung Malaysia termasuk Taman Negara, Rizab Hidupan Liar, Taman Negeri, Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Tapak RAMSAR.

2. Sehingga Disember 2021, sebanyak 425 orang Orang Asli telah dilantik sebagai renjer hidupan liar di bawah inisiatif Short-Term Employment Programme (MySTEP). Komuniti Orang Asli yang terlibat termasuklah daripada etnik Batek, Temiar, Semoq Beri, Jahut, Semai, Jahai, Semelai dan Che Wong di seluruh Semenanjung Malaysia. Penglibatan komuniti Orang Asli dalam menjayakan BP3 adalah signifikan kerana mereka lebih memahami selok-belok hutan di negara ini.

3. Pada tahun 2021, mereka telah ditempatkan di 55 pos di Taman Negara Pahang, Taman Negara Terengganu, Taman Negara Kelantan,  Royal Belum, Perak, Taman Negara Endau Rompin Johor, Rezab Hidupan Liar Sungkai, Perak, Rezab Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor, Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang dan Taman Negara Pulau Pinang bagi melaksanakan tugasan seperti berikut:

(i) membantu melaksanakan operasi kawalan sempadan (Taman Negara, Rizab Hidupan Liar, HSK) dan pos kawalan sempadan;

(ii) membantu melaksanakan operasi penguatkuasaan secara teratur selaras dengan perundangan berkaitan dan Standard Prosedur Operasi (SOP);

(iii) membantu melaksanakan SMART Patrol di kawasan Taman Negara, Rizab Hidupan Liar dan HSK; dan

(iv) membantu melaksanakan latihan ikhtiar hidup /survival, tempur tanpa senjata (TTS), asas pengunaan peralatan navigasi dan komunikasi.

Sekian, terima kasih.​

Attachments