Tuan Yang di-Pertua,
1. Semua hidupan liar terancam di Semenanjung Malaysia dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Akta 716 menggariskan dua kategori perlindungan iaitu 'hidupan liar yang Dilindungi' dan 'hidupan liar yang Dilindungi Sepenuhnya'. Hidupan liar terancam terletak di bawah kategori 'hidupan liar yang Dilindungi Sepenuhnya'. Sebanyak lebih kurang 1,300 spesies hidupan liar telah disenaraikan di bawah kategori ini.
2. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 223 spesies hidupan liar telah dinilai statusnya dan disenaraikan di bawah Red List of Mammals for Peninsular Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2017. Mengikut data yang direkodkan di dalam Red List of Mammals for Peninsular Malaysia, terdapat satu spesies yang telah disenaraikan sebagai pupus atau extinct iaitu Badak Jawa, manakala empat (4) spesies lagi dinilai sebagai amat terancam atau critically endangered iaitu Badak Sumatera, Harimau Malaya, Tenggiling dan Banteng. Selain itu, sebanyak 12 spesies dinilai sebagai terancam (endangered) sementara 14 spesies dinilai sebagai terdedah kepada ancaman (vulnerable), 33 spesies hampir merbahaya (near threatened), 83 spesies kurang membimbangkan (least concern) dan 76 spesies berstatus kurang data (data deficient).
3. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah membelanjakan peruntukan mengurus sebanyak RM88,909,000.00 pada tahun 2020 dan sebanyak RM90,158,500.00 pada tahun 2021 bagi menjalankan pengurusan hidupan liar. Peruntukan ini digunakan bagi menampung kos operasi Jabatan PERHILITAN yang melibatkan konservasi in-situ dan ex-situ, penguatkuasaan dan pengurusan kawasan perlindungan.
Sekian, terima kasih.