Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

61

Soalan

Dato' Haji Husain Bin Awang minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan rancangan dalam masa terdekat untuk melaksanakan kempen penanaman semula hutan secara besar-besaran di seluruh negara bagi menggantikan kawasan hutan yang ditebang.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Pengusahasilan hutan yang dilaksanakan di Malaysia adalah berteraskan kepada prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) berpandukan kepada Dasar Perhutanan Malaysia. Perkara ini adalah selaras dengan komitmen negara terhadap ketetapan di bawah Forum Hutan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Forum on Forests - UNFF).

2. Berdasarkan amalan PHSB di bawah Sistem Pengurusan Memilih (Selective Management System - SMS) untuk Semenanjung dan Sistem Tebangan Memilih (Selective Felling System - SFS) untuk Sabah dan Sarawak, aktiviti bancian selepas tebangan (Post-F) akan dilaksanakan bagi menentukan keperluan rawatan silvikultur selepas pembalakan. Bagi kawasan pembalakan yang memerlukan rawatan, salah satu kaedah rawatan yang dilaksanakan adalah tanaman mengaya (enrichment planting). Rawatan tanaman mengaya di kawasan pengusahasilan hutan akan membantu pemulihan sesuatu kawasan hutan miskin untuk mencapai tahap yang dikehendaki terutamanya dari segi komposisi spesies yang diterima di pasaran antarabangsa dan bermutu tinggi.

3. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Insitut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri di Semenanjung telah menjalankan beberapa program penanaman pokok secara berterusan di seluruh negara seperti berikut:

(a) Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot

Bagi tujuan pemulihan kawasan hutan terosot ini, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-11) di Semenanjung, RM58.31 juta di Sabah dan RM34 juta di Sarawak bagi memastikan pemuliharaan kawasan dalam HSK dan luar HSK. Sehingga November 2021, seluas 824.80 hektar telah ditanam dengan 472,856 pokok spesies hutan di Semenanjung, 855.81 hektar dengan 256,743 pokok spesies hutan di Sabah dan 339.72 hektar dengan 210,941 pokok spesies hutan di Sarawak.

(b) Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021 – 2025)

KeTSA melalui JPSM, FRIM, Yayasan Hijau Malaysia (YHM), Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri di Semenanjung  sedang melaksanakan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula tahun 2021 hingga 2025 di bawah RMKe-12 dengan peruntukan sebanyak RM25 juta. Sasaran penanaman pokok yang telah ditetapkan pada setiap tahun bagi mencapai sasaran penanaman kempen ini ialah sebanyak 20 juta pokok. Sehingga November 2021, jumlah penanaman pokok pada tahun 2021 telah melebihi sasaran tahunan yang ditetapkan iaitu sebanyak 23.97 juta pokok telah berjaya ditanam.

(c) Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara

Program ini telah mula dilaksanakan pada 7 Februari 2005 dan merupakan program nasional jangka panjang bagi pemuliharaan kawasan pesisiran pantai yang terjejas. Sehingga November 2021, 3,231.24 hektar kawasan pesisiran pantai di seluruh negara telah ditanam dengan 7,094,595 pokok bakau dan spesies-spesies pantai yang sesuai. Program ini masih diteruskan dalam RMKe-12 dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti tanaman, rawatan dan kempen yang dijalankan oleh semua JPSM, FRIM, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM13 juta.

Sekian, terima kasih.

Attachments