Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2021

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

105

Soalan

Puan Nuridah Binti Mohd Salleh minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan sejauh mana program pendidikan kesedaran orang awam dilaksanakan bagi mengelakkan lebih ramai masyarakat tertipu dalam urusan jual beli tanah yang berstatus "lot lidi".​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Secara umumnya, pemahaman masyarakat berkenaan 'lot lidi' ialah, tanah lot yang masih berstatus pertanian dan belum mempunyai geran individu tetapi dijual sebagai lot bangunan berdasarkan pelan lakaran yang belum diluluskan Pihak Berkuasa Negeri. Namun, isu lot lidi ini perlu dilihat dalam beberapa aspek kerana jual beli lot lidi tidak semestinya bermaksud penipuan oleh penjual atau pemilik tanah.

2. Tafsiran lot lidi merujuk kepada kategori seperti berikut:

(i) Tanah-tanah berimilik kategori pertanian yang kebanyakannya mempunyai bukaan atau lebar yang kecil atau terhad dan memanjang. Disebabkan bentuk dan saiznya ini, maka tanah ini agak sukar atau kurang ekonomik untuk dibangunkan;

(ii) Tanah berimilik yang kebanyakannya kategori pertanian dan terdapat juga sebahagiannya kategori bangunan yang dimiliki oleh beberapa orang sebagai tuan punya bersama dengan syer-syer atau bahagian-bahagian yang tidak dipecahkan (undivided shares) dan kebanyakannya disebabkan oleh proses turun milik akibat kematian tuan punya asal; dan

(iii) Tanah pertanian dengan keluasan yang kecil di antara 1-2 ekar yang diracik atau dipecahkan kepada sejumlah plot-plot kediaman di antara 3,000-5,000 kaki persegi setiap satu, tanpa proses pemajuan tanah yang sewajarnya sama ada pecah sempadan dan tukar kategori/syarat atau serah balik dan beri milik semula.

3. Urusan jual beli bagi kategori (iii) ini kebiasaannya melibatkan penjualan plot-plot melalui perjanjian jual beli sahaja, tanpa proses pindah milik yang sempurna. Sebagai contoh, urusan pecah sempadan dan tukar kategori/syarat, memerlukan perbelanjaan yang besar disamping penyediaan infrastruktur yang disyaratkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

4. Melalui tawaran harga yang murah, orang ramai mudah tertarik dan tertipu untuk membeli tanah lot lidi kategori ini tanpa menyedari urusan tanah yang sebenarnya tidak dilakukan dan akibatnya, tiada hak milik individu (individual titles) dihasilkan. Jual beli tanah lot lidi kategori ini yang sebenarnya mendatangkan pelbagai masalah bukan sahaja kepada pembeli, malahan juga kepada pihak-pihak berkuasa.

5. Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) pada tahun 2020 telah menganjurkan satu seminar atas talian bertajuk Lot Lidi: Apa Yang Anda Perlu Tahu? dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah. Selain itu, JKPTG juga dijemput untuk memberikan ceramah atau sebagai panel dalam siri-siri seminar atau ceramah yang dianjurkan oleh pihak-pihak luar.

6. Kempen pendidikan bertujuan memberikan kesedaran kepada rakyat ini perlu diteruskan oleh pihak-pihak berkuasa di peringkat persekutuan, Pejabat-pejabat Tanah dan Galian Negeri, Pejabat-pejabat Tanah Daerah dan Pihak-pihak Berkuasa Tempatan dalam mendidik masyarakat mengenai isu atau masalah jual beli lot lidi yang tidak sah ini.

Sekian, terima kasih.​

Attachments