Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

03 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

33

Soalan

TUAN CHA KEE CHIN ( RASAH ) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah rasional disebalik peningkatan bayaran elektrik untuk pengguna TNB kategori komersial dan industri mulai 1 Februari 2022, kerana negara masih dibayangi oleh pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi semasa yang tidak memberangsangkan ketika ini, kenaikan ini dijangka akan membebankan peniaga kecil dan sektor IKS.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Pelarasan tarif elektrik di Semenanjung di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) dilaksanakan setiap enam bulan dengan mengambil kira perubahan harga bahan api di pasaran dunia serta kos-kos penjanaan tambahan lain untuk tempoh enam bulan ke belakang. Kos ICPT bagi tempoh Julai hingga Disember 2021 ialah sebanyak RM1.672 bilion. Sebahagian besarnya berpunca daripada kenaikan harga arang batu yang mendadak di pasaran dunia sehingga mencecah secara purata USD105.09/metrik tan berbanding harga arang batu yang diunjurkan pada tahun 2021 iaitu sebanyak USD67.45/metrik tan. Peningkatan harga arang batu yang ketara ini telah menyebabkan kos penjanaan berasaskan arang batu meningkat sebanyak 45% bagi tempoh Julai hingga Disember 2021.

2. Selain kenaikan harga bahan api, pertukaran mata wang asing bagi tempoh Julai hingga Disember 2021 juga turut meningkat iaitu pada kadar RM4.246 untuk setiap USD1.00 berbanding RM4.212 bagi setiap USD1.00 seperti yang diunjurkan pada tahun 2021 dan ini turut meningkatkan kos penjanaan.

3. TNB telah membayar kos bahan api dan penjanaan tambahan bagi tempoh Julai hingga Disember 2021 berjumlah RM1.672 bilion. Oleh itu, TNB perlu mendapatkan semula kos tersebut bagi menampung kos operasi bagi tempoh Januari hingga Jun 2022. Justeru, kos ini telah dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk surcaj sebanyak 3.70 sen/kWj bagi tempoh Februari 2022 hingga Jun 2022. Sekiranya kos yang terlibat tidak dapat dikutip semula daripada pengguna, ia akan menjejaskan aliran tunai TNB serta menjejaskan keupayaan TNB untuk membuat bayaran kepada pembekal- pembekal bahan api gas dan arang batu, pembayaran kepada vendor, pembayaran gaji kakitangan dan sebagainya. Ini sudah tentu akan menjejaskan perkhidmatan bekalan elektrik kepada pengguna. Selain itu, Kerajaan juga telah membelanjakan sejumlah RM493 juta pada tahun 2021 melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) untuk menampung kos rebat 2 sen/kWj bagi semua pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia agar tarif dapat dikekalkan pada ketika itu.

4. Oleh itu, Kerajaan tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa melepaskan kos ICPT sebanyak RM1.672 bilion kepada pengguna komersial dan industri kerana kedudukan kewangan Kerajaan tidak mengizinkan Kerajaan untuk menyerap kos tersebut. Walau bagaimanapun, Kerajaan telah memutuskan untuk melindungi pengguna domestik dan telah membuat keputusan untuk menanggung kos ICPT pengguna domestik sebanyak RM432 juta.

5. Kerajaan sedar bahawa surcaj elektrik kepada pengguna komersial dan industri meningkatkan kos operasi mereka terutamanya pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS). Oleh itu, saya ingin menyarankan agar pengguna-pengguna dalam kedua-dua kategori ini untuk  melanggan Green Electricity Tariff (GET). Ia bukan sahaja boleh membantu mengurangkan bil elektrik kerana pelanggan GET akan dikecualikan daripada membayar surcaj untuk tempoh setahun, malah mereka akan turut memiliki Renewable Energy Certificate (REC) yang boleh membantu memenuhi komitmen Environmental, Social and Governance (ESG), dengan izin,  dan menyokong agenda Tenaga Boleh Baharu negara.

6. Selain itu, pengguna-pengguna bukan domestik turut dicadangkan untuk meneroka potensi solar melalui pemasangan sistem solar bagi kegunaan sendiri (self-consumption – SelCo) atau menyertai Program Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0). Kementerian juga menyarankan pemain-pemain industri untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dengan menggunakan peralatan cekap tenaga yang mendapat penarafan 4 atau 5 bintang oleh pihak Suruhanjaya Tenaga. Inisiatif-inisiatif ini dapat membantu pengguna komersial dan industri untuk mengurangkan bil elektrik mereka pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Attachments