Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

03 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

42

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan semua jenis mineral yang terdapat dalam negara kita mengikut negeri serta jumlah kuantiti keseluruhan dan nilainya. Siapakah pengusaha-pengusaha mineral ini dan apakah status kini dalam penubuhan Lembaga Sumber Asli Negara (Formation of the Mineral Board).​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Berdasarkan kepada kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah melaksanakan pemetaan di pelbagai lokasi di negeri-negeri bagi menentukan sumber mineral negara. Setakat tahun 2020, jumlah sumber mineral negara dianggarkan bernilai mencecah RM4.11 trilion yang terdiri daripada mineral berlogam berjumlah RM1.03 trilion, mineral bukan logam atau mineral perindustrian berjumlah RM2.96 trilion dan mineral tenaga berjumlah RM0.12 trilion.

2. Anggaran jumlah nilai ini merangkumi mineral-mineral seperti timah, emas, bauksit, nikel, bijih besi, arang batu dan termasuk sumber mineral baharu iaitu unsur nadir bumi bukan radioaktif (Non-Radioctive Rare Earth Elements - NR-REE).

3. Selain itu, negara juga mempunyai sumber pasir yang terdiri daripada pasir laut dan pasir sungai dengan anggaran berjumlah 43,897 juta tan metrik dengan nilai RM1.312 bilion.

4. Untuk makluman Yang Berhormat, sumber mineral tersebut terdapat di pelbagai lokasi di seluruh negara.

5. Setakat ini, pengusaha mineral di Malaysia terdiri daripada pelabur tempatan dan luar negara yang memenuhi keperluan dan syarat yang ditetapkan oleh Akta Pembangunan Mineral 1994. Antaranya seperti Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. dan Kaolin (Malaysia) Sdn. Bhd.

6. Seterusnya, saya ingin memaklumkan bahawa gerak kerja penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Mineral Malaysia (LPMM) sedang giat dilaksanakan oleh KeTSA bersama JMG dan melibatkan beberapa siri libat urus bersama Agensi Pusat dan Pihak Berkuasa Negeri.

7. Penubuhan LPMM ini bertujuan memperkasakan industri mineral ke arah penjanaan sumber ekonomi baharu dan meningkatkan daya saing industri melalui aktiviti penyelidikan pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (Research, Development, Commercialization, Innovation – R&D&C&I). Penubuhan LPMM juga bakal memperkemaskan elemen kawal selia dan penguatkuasaan serta mewujudkan pengurusan sumber mineral yang lebih sistematik.

Sekian, terima kasih.

Attachments