Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

03 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

53

Soalan

TENGKU ZULPURI BIN RAJA PUJI ( RAUB ) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan bagaimana pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) membuat pengiraan yang mana Malaysia masih berada lebih dalam 50% hutan sekiranya pembalakan ini masih berjalan sedangkan pokok gantian yang ditanam masih kecil atau mati. Adakah ladang kelapa sawit, getah itu termasuk dalam pengiraan. Bagaimana juga JPSM mengetahui CCT di sesebuah negeri itu dipatuhi (tidak tebang melebihi kuota).​​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Data hutan merupakan data yang dinamik. Elemen-elemen seperti perubahan status guna tanah, proses pewartaan keluar dan masuk Hutan Simpanan Kekal dan Kawasan Perlindungan (Totally Protected Area-TPA), peningkatan keupayaan teknologi dan aplikasi terkini, perubahan ketetapan data rujukan dan data penyelidikan termasuk penetapan dasar baharu yang berlaku di ketiga-tiga wilayah akan memberi kesan kepada peningkatan atau pengurangan data hutan tahunan yang dilaporkan.

2. Dalam hubungan ini, pengiraan data hutan adalah melibatkan beberapa faktor, antaranya adalah notis pewartaan bagi Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Kawasan Perlindungan, peta geospatial bagi mengenal pasti sempadan hutan serta maklumat Inventori Hutan Kebangsaan (NFI) yang dijalankan setiap 10 tahun.

3. Selain daripada inventori kawasan berhutan secara konvensional di Malaysia, penggunaan teknologi terkini dalam menganalisis keluasan kawasan berhutan seperti Geographical Information System (GIS) dengan izin, data-data geospatial dan imej satelit turut membantu mengukuhkan cerapan data dan memberi gambaran maklumat yang lebih terperinci. Penggunaan teknologi terkini telah membantu dalam penyediaan data dan maklumat yang lebih tepat dan akan diteruskan dalam membantu menambah baik pelaksanaan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan di Malaysia.

4. Data-data yang dikumpul ini perlu melalui proses analisis, verifikasi dan pengesahan secara komprehensif sebelum ia digunakan sebagai data rasmi negara di peringkat domestik dan antarabangsa. Proses verifikasi dan pengesahan melibatkan kesemua Jabatan Perhutanan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

5. Malaysia telah menetapkan definisi hutan nasional sebagai “sesuatu kawasan merangkumi keluasan melebihi 0.5 hektar termasuk hutan semula jadi/asli dan ladang hutan tetapi tidak termasuk pokok-pokok yang ditanam bagi tujuan pertanian atau penggunaan tanah bandar urban land use. Pokok-pokok yang terdapat di kawasan tersebut juga hendaklah mampu mencapai ketinggian sekurang-kurangnya 5 meter dan dilitupi oleh silara pokok melebihi 30%. Definisi ini adalah selari dengan definisi hutan yang ditetapkan oleh Food and Agriculture Organization (FAO) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Berdasarkan definisi hutan ini, kawasan ladang kelapa sawit dan getah adalah tidak termasuk dalam pengiraan jumlah kawasan berhutan di Malaysia.

6. Bagi memantau pengusaha hasilan hutan dalam HSK dilaksanakan mematuhi kadar Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang telah ditetapkan, setiap Jabatan Perhutanan Negeri perlu menyediakan laporan mengenai pembukaan kawasan pengusaha hasilan hutan kepada JPSM secara bulanan. Laporan ini akan disusun secara bersiri bagi memantau pematuhan CTT di negeri-negeri.

7. Seterusnya, maklumat-maklumat ini akan menjalani proses pengesahan oleh JPSM melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Operasi Hutan (JKPOH) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia setiap suku tahun. Di samping itu, pelaksanaan CTT turut diakreditasikan melalui pensijilan MS ISO 9001:2015 Pengurusan Pengeluaran Kayu Bulat Secara Berkekalan Bagi Hutan Darat Asli Di Hutan Simpanan Kekal dan Pensijilan Pengurusan Hutan Kriteria dan Indikator Malaysia bagi Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Sekian, terima kasih.

Attachments