Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

03 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan, Mineral

Nombor Soalan

54

Soalan

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID ( KEMAMAN ) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan peratus pelaksanaan projek ladang hutan (ladang monokultur) berskala besar dan kegiatan perlombongan dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di seluruh negara.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, seluas 439,189 hektar dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) telah diluluskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-68 pada tahun 2012 sebagai Zon Penubuhan Ladang Hutan (ZPLH) di Semenanjung. Sehingga 31 Disember 2021, seluas 213,522.19 hektar atau 48.62 peratus daripada jumlah tersebut telah dibangunkan sebagai ladang hutan di Semenanjung.

2. Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 2021 mensasarkan pembangunan seluas 400,000 kawasan Hutan Simpan Komersial (Kelas II) sebagai ladang hutan menjelang tahun 2035, selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025. Sehingga 31 Disember 2021, seluas 149,558 hektar atau 37 peratus daripada sasaran tersebut telah dibangunkan sebagai ladang hutan di Sabah. Manakala di Sarawak, Kerajaan Negeri telah membuat ketetapan di bawah Revised Policy Direction on Industrial Forest Plantation in Sarawak pada tahun 2020 untuk mencapai sasaran sebanyak 1 juta hektar kawasan HSK dan Tanah Kerajaan akan dibangunkan sebagai ladang hutan (dikenali sebagai hutan industri di Sarawak). Sehingga 31 Disember 2021, seluas 527,790 hektar atau 52.78 peratus telah dibangunkan sebagai ladang hutan di Sarawak.

3. Bagi kegiatan perlombongan dalam HSK, MTN Ke-70 pada 18 November 2014 telah bersetuju supaya Kerajaan-kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk mengawal atau seboleh-bolehnya mengelakkan sebarang kelulusan aktiviti perlombongan dan pengkuarian di dalam HSK. Oleh yang demikian, adalah menjadi dasar Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) untuk tidak meluluskan sebarang kelulusan Surat Kebenaran Skim Pengendalian Melombong (Operational Mining Scheme - OMS) bagi aktiviti perlombongan di kawasan-kawasan pemeliharaan iaitu HSK, Kawasan Rizab Perlindungan, Kawasan Tadahan Air dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS). KeTSA juga menyarankan kepada Pihak Berkuasa Negeri supaya tidak mewarta keluar mana-mana HSK untuk tujuan pengeluaran pajakan melombong.

Sekian, terima kasih.

Attachments