Tuan Yang di-Pertua,
1. Berdasarkan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030), lima mineral strategik yang dinyatakan adalah bauksit, bijih timah, pasir silika, kaolin dan unsur nadir bumi bukan radioaktif (Non-Radioactive Rare Earth Elements – NR REE).
2. Bagi memastikan industri perlombongan terus berkembang secara mampan, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah membangunkan Petunjuk Kemampanan Perlombongan dan Pengkuarian Malaysia. Petunjuk tersebut bertujuan memberi penarafan terhadap tahap kemampanan industri yang dikenali sebagai Petunjuk Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Indicators (SDI). Dalam petunjuk kemampanan ini, aspek penting yang diambil kira adalah pelaksanaan dasar, pematuhan perundangan, prosedur operasi standard, garis panduan, amalan terbaik industri dan kawal selia yang tersusun, jelas, dan telus.
3. Audit penarafan kemampanan berkenaan akan dijalankan oleh JMG terhadap lombong dan kuari setiap tahun. Mulai tahun 2022, audit penarafan kemampanan ini akan dilaksanakan oleh pihak perunding audit yang dilantik bagi setiap operator lombong, manakala JMG akan membuat semakan secara terpilih terhadap pengauditan yang dibuat oleh pihak perunding berkenaan.
4. JMG juga telah melaksanakan peranan-peranan berikut dalam penyediaan pemetaan dan pengezonan mineral:
(i) menilai dan menentukan potensi sumber mineral di kawasan- kawasan beranomali yang dikenal pasti;
(ii) persempadanan kawasan berpotensi untuk diusahahasilkan sebagai kawasan yang perlu diberi keutamaan; dan
(iii) menyediakan maklumat sumber mineral yang lengkap bagi membantu dalam perancangan pembangunan mineral negara.
5. Kementerian juga yakin langkah-langkah yang digariskan dalam Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) dapat membantu dalam memastikan industri mineral negara dimajukan dengan mematuhi prinsip kemampanan dan kelestarian alam sekitar.
6. Antara inisiatif yang sedang diusahakan oleh Kementerian bagi mematuhi prinsip kemampanan adalah seperti penyediaan SOP NR-REE Negeri Perak dan SOP Bauksit. SOP ini dibangunkan bagi memenuhi kehendak yang disasarkan di bawah Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goal 2030 – SDG 2030), di mana ia mengambil kira pertimbangan-pertimbangan berasaskan kepada prinsip perlombongan yang bertanggungjawab, mampan, kompetensi, nilai tambah produk, mematuhi norma industri standard tinggi, pengendalian sumber mineral strategik, dan kecekapan sumber.
Sekian, terima kasih.