Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

09 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

10

Soalan

DATUK WIRA HAJI MOHD. ANUAR MOHD. TAHIR (TEMERLOH) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan usaha Kementerian mengawal pembalakan di negeri Pahang daripada menjadi bencana seperti hujung tahun lalu.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, aktiviti pembalakan di negara ini melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran, Tanah Kerajaan dan Tanah Berimilik. Pembalakan Hutan Pengeluaran dilaksanakan secara terkawal melalui Catuan Tebangan Tahunan (CTT) berdasarkan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM) menerusi Sistem Pengurusan Memilih (Selective Management System - SMS).

2. CTT bertujuan mengimbangi jumlah pengeluaran kayu dengan keupayaan dan keluasan sesuatu kawasan Hutan Pengeluaran dalam HSK. Kadar CTT diputuskan dalam Majlis Tanah Negara (MTN) pada setiap tempoh Rancangan Malaysia Lima Tahun. Penetapan CTT adalah berasaskan kepada keupayaan pemulihan semula jadi (natural regeneration capacity) kawasan yang diusaha hasil. Setiap Kerajaan Negeri perlu mematuhi kadar CTT yang telah ditetapkan dan pematuhan terhadap CTT dilaporkan dalam mesyuarat MTN.

3. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-71 yang bersidang pada 14 Disember 2015 telah bersetuju dengan penetapan CTT bagi negeri Pahang seluas 68,435 hektar. Berdasarkan rekod daripada tahun 2016 hingga 2020, hutan pengeluaran dalam HSK di negeri Pahang yang telah diusaha hasil dalam tempoh RMKe-11 adalah seluas 58,075 hektar. Ini menunjukkan pengusaha hasilan di negeri Pahang tidak melebihi CTT yang telah ditetapkan iaitu pengurangan sebanyak 10,360 hektar daripada kadar CTT yang telah ditetapkan. Bagi RMKe-12 pula, CTT yang telah ditetapkan olen MTN Ke-77 pada 28 September 2020 di negeri Pahang adalah seluas 58 ribu hektar. Ini menunjukkan pengurangan sebanyak 10,435 hektar berbanding dengan kadar CTT pada RMKe-11.

4. Bagi tujuan pelesenan pembalakan di hutan Tanah Kerajaan dan Tanah Berimilik, ianya tertakluk kepada pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling [Aktiviti Yang Ditetapkan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) 2015] yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri akan mengeluarkan lesen pembalakan selepas laporan EIA diluluskan oleh JAS.

5. Selain itu, bagi memastikan aktiviti pembalakan dilaksanakan secara teratur, pelesen perlu menyediakan Rancangan Mengusahasil Hutan (RMH) sebelum lesen dikeluarkan. Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) juga telah mengeluarkan Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia pada tahun 2016 iaitu 'Panduan Amalan Baik Hutan (Good Forest Practices) untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan' sebagai rujukan utama Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri.

Sekian, terima kasih.

Attachments