Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

09 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

37

Soalan

TUAN CHOW KON YEOW (TANJONG) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan adakah kadar surcaj 3.70 sen/kWj dikenakan kepada semua pengguna elektrik bukan domestik (komersial dan industri) bermula 1 Februari lalu akan ditarik balik. Jika tidak, kenapa. Nyatakan nilai pungutan sebelum dan selepas kenaikan tersebut.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan mempunyai mekanisme khusus bagi penetapan purata tarif asas elektrik yang telah diguna pakai sejak tahun 2014 iaitu berdasarkan mekanisme Incentive Based Regulation (IBR). Melalui IBR ini, purata tarif asas di Semenanjung Malaysia untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan dikaji tiga (3) tahun sekali berserta dengan penetapan parameter-parameter untuk perniagaan TNB yang dikawal selia oleh Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST). Selain itu, Kerajaan juga mempunyai mekanisme khusus bagi pelarasan tarif elektrik iaitu melalui Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang disemak setiap enam (6) bulan. Mekanisme ICPT ini adalah penting memandangkan TNB telah membuat bayaran terdahulu (advance payment) bagi semua kos penjanaan tenaga elektrik di Semenanjung bagi enam bulan yang terdahulu, maka bagi enam bulan yang berikutnya, mekanisme ICPT membenarkan segala kos yang telah dibuat oleh TNB dilepaskan kepada pengguna sama ada dalam bentuk rebat atau surcaj. Kerajaan pada 26 Januari 2022 telah meluluskan pelaksanaan tempoh regulatori ketiga (RP3) bagi tahun 2022 hingga 2024 di bawah mekanisme IBR.

2. Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2021, Kerajaan telah memberikan rebat 2 sen/kWj kepada semua kategori pengguna di Semenanjung. Pemberian rebat ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM2.27 bilion.

3. Bagi tempoh Julai hingga Disember 2021, kos ICPT yang terlibat adalah sebanyak RM1.672 bilion bersamaan surcaj 3.70 sen/kWj yang perlu dilepaskan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung. Pelepasan surcaj ICPT sebanyak 3.70 sen/kWj kepada pengguna bagi tempoh Februari 2022 hingga Jun 2022 perlu dilaksanakan berikutan kenaikan harga arang batu sehingga USD105.09/metrik tan berbanding unjuran harga arang batu yang ditetapkan pada tahun 2021 iaitu sebanyak USD67.45/metrik tan. Peningkatan harga arang batu yang ketara ini telah menyebabkan kos penjanaan berasaskan arang batu meningkat sebanyak 45% bagi tempoh Julai hingga Disember 2021.

4. Sebarang kenaikan dalam harga arang batu memberi impak yang besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana 59% penjanaan elektrik adalah daripada sumber arang batu. Selain itu, kenaikan pertukaran mata wang asing bagi tempoh Julai hingga Disember 2021 iaitu pada kadar RM4.246 untuk setiap USD1.00 berbanding unjuran iaitu pada kadar RM4.212 bagi setiap USD1.00 turut menjadikan kos penjanaan meningkat.

5. Kerajaan menyedari bahawa sekiranya surcaj dilepaskan kepada semua pengguna seperti yang sepatutnya dilaksana berdasarkan mekanisme ICPT, pasti rakyat akan merasa terbeban disebabkan kenaikan tarif elektrik. Oleh itu, Kerajaan telah memutuskan supaya rebat 2 sen/kWj terus diberikan kepada semua pengguna domestik bagi tempoh Februari sehingga Jun 2022 dengan membelanjakan RM715 juta daripada dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE). Dalam masa yang sama, TNB telah menyerap kos ICPT pada bulan Januari 2022 sebanyak RM181 juta walaupun kos tersebut sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna.

6. Kerajaan telah melepaskan surcaj sebanyak 3.70 sen/kWj kepada pengguna bukan domestik bagi tempoh tersebut kerana pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu membayar kos bahan api dan penjanaan tambahan kepada pembekal-pembekal bahan api bagi tempoh Julai hingga Disember 2021.

7. Bagi menghadapi situasi ini, saya ingin menyarankan agar pengguna-pengguna bukan domestik untuk melanggan inisiatif Green Electricity Tariff (GET). Ia bukan sahaja dapat mengecualikan pelanggan GET daripada membayar surcaj ICPT untuk tempoh setahun, malah mereka akan turut memiliki Renewable Energy Certificate (REC) yang boleh membantu mereka memenuhi komitmen Environmental, Social and Governance (ESG), dengan izin,  dan menyokong agenda Tenaga Boleh Baharu negara.

8. Selain itu, pengguna-pengguna bukan domestik turut dicadangkan untuk meneroka potensi solar melalui pemasangan sistem solar bagi kegunaan sendiri (self-consumption – SelCo) atau menyertai Program Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0). Kementerian turut menyarankan pemain-pemain industri untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dengan menggunakan peralatan cekap tenaga yang mendapat penarafan 4 atau 5 bintang oleh pihak Suruhanjaya Tenaga. Inisiatif-inisiatif ini dapat membantu pengguna komersial dan industri untuk mengurangkan bil elektrik mereka pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Attachments