Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

15 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Biodiversiti, PERHILITAN

Nombor Soalan

8

Soalan

​​​PUAN WONG SHU QI (KLUANG) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan jumlah pusat konservasi gajah sedia ada seluruh negara mengikut negeri dan rancangan untuk mengatasi masalah pemusnahan hasil tanaman ladang oleh gajah di Daerah Kluang.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Setakat ini terdapat tiga (3) pusat konservasi gajah yang sedang beroperasi di bawah pengurusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Pusat-pusat tersebut ialah:

i) Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang;

ii) Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu, Terengganu; dan

iii) Santuari Gajah Johor, Kota Tinggi, Johor.

2. Selain itu, terdapat juga sebuah pusat konservasi gajah yang diuruskan di bawah Kerajaan Negeri Terengganu yang dikenali sebagai Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) yang terletak di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, Terengganu.

3. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, setiap kes gangguan gajah yang berlaku di negeri Johor termasuklah di daerah Kluang sentiasa diberikan perhatian oleh Jabatan PERHILITAN. Antara tindakan berterusan yang diambil ialah:

i) menjalankan rondaan, pemantauan dan tembak halau di kawasan hotspot berlakunya konflik gajah di Kluang di mana sebanyak 94 tindakan rondaan dan pemantauan telah dijalankan bermula Januari hingga Disember 2021 manakala sebanyak 7 tindakan telah diambil bagi Januari 2022;

ii) menjalankan operasi tangkapan gajah di mana sebanyak 71 operasi dijalankan di negeri Johor bagi tempoh 2015 hingga 2021. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 46 ekor gajah konflik telah berjaya ditangkap dan dipindahkan ke habitat asal yang sesuai. Bagi daerah Kluang, 13 ekor gajah konflik telah ditangkap dari tahun 2015 hingga 2021;

iii) mengadakan program kesedaran awam menerusi sesi dialog dan perbincangan bersama masyarakat setempat bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman penduduk dalam pengurusan konflik manusia-gajah dan kaedah pengurusan kebun yang betul terutama bagi kawasan yang bersempadan dengan habitat gajah;

iv) memasang 11 unit kolar satelit bagi memantau pergerakan kumpulan gajah yang sering menimbulkan konflik di dalam negeri Johor dalam tempoh 2019 hingga 2021;

v) memberikan khidmat nasihat teknikal terutamanya berkaitan kaedah mitigasi terbaik mengawal serangan gajah kepada ladang-ladang yang berisiko kepada ancaman serangan gajah; dan

vi) membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di Kg. Sri Lukut sepanjang 13.8 kilometer bermula dari Ladang Persind hingga ke Sg. Temenchil. Kos pembinaan ialah RM717,818 dan mula beroperasi pada tahun 2011 di bawah RMK-9.

4. Selain itu, sebanyak lima (5) unit kolar satelit juga akan dipasang kepada kumpulan-kumpulan gajah di negeri Johor pada tahun ini sebagai kesinambungan Sistem Amaran Awal pergerakan gajah bagi membolehkan tindakan proaktif diambil selain daripada aktiviti pemantauan berterusan ke atas populasi gajah berkenaan.

5. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia pada masa ini telah menyediakan National Elephant Conservation Plan (NECAP) bagi pengurusan Gajah di Semenanjung Malaysia. Kesemua inisiatif di bawah pelan tindakan NECAP ini sedang dipantau oleh KeTSA dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan seperti badan bukan kerajaan (NGO), universiti dan lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan. NECAP juga sedang dikaji berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa terutamanya yang berkaitan dengan keupayaan Jabatan PERHILITAN seperti bilangan anggota dan peruntukkan yang mencukupi.

Sekian, terima kasih.

Attachments