Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

15 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan, Biodiversiti, PERHILITAN

Nombor Soalan

32

Soalan

​​​​DATO' MOHD NIZAR BIN HAJI ZAKARIA ( PARIT ) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan:

1. Berapa jumlah kes pembalakan haram yang dilaporkan sepanjang tahun 2020 sehingga akhir tahun 2021; dan

2. Sejauh manakah aktiviti pembalakan yang berlaku telah mengganggu ekosistem hidupan liar sepe​rti harimau.​

Jawapan

​JAWAPAN (a)

Tuan Yang di-Pertua,

1. Sebanyak 56 kes pembalakan haram pada tahun 2020 dan 55 kes pembalakan haram pada tahun 2021 telah diambil tindakan di Semenanjung. Manakala, sebanyak  35 kes pembalakan haram dan 131 kes kesalahan hutan lain telah diambil tindakan di Sabah. Di Sarawak pula sebanyak 129 kes pembalakan haram dan 56 kes kesalahan hutan lain telah diambil tindakan. Penjenayah yang melakukan kesalahan tersebut telah diambil tindakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968) di Sabah.


JAWAPAN (b)

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, peralihan negara untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi telah mendatangkan pelbagai tekanan ke atas dirian hutan seperti perubahan guna tanah, fragmentasi dan kehilangan kawasan berhutan serta habitat hidupan liar. Sebarang aktiviti penukaran guna tanah dan pembangunan kawasan berhutan yang tidak dilaksanakan mengikut amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM)  akan memberikan kesan kepada ekosistem hidupan liar.

2. Dalam hal ini, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui JPSM dan Kerajaan-kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri komited dalam melaksanakan pengusaha hasilan hutan mengikut amalan SFM yang memberikan penekanan kepada keseimbangan aspek pemeliharaan serta pemuliharaan hutan dan fungsinya dalam pembangunan sosioekonomi.

3. Pelaksanaan SFM sejak tahun 1901 di Malaysia adalah berpandukan kepada Dasar Perhutanan Malaysia serta selaras dengan komitmen negara terhadap ketetapan di bawah Forum Hutan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Forum on Forests - UNFF). Selain itu, bagi memelihara dan memulihara kawasan hutan-hutan simpan yang turut menjadi habitat hidupan liar di negara ini, beberapa langkah dan inisiatif untuk memastikan aktiviti pembalakan tidak menganggu ekosistem hidupan liar telah diambil seperti berikut:

i) hanya pokok yang matang dan ditanda untuk ditebang sahaja yang boleh diusaha hasil. Sementara itu, pokok-pokok yang mempunyai nilai perlindungan seperti pokok ibu, pokok buah-buahan untuk kepentingan hidupan liar dan spesies-spesies pokok yang dikategorikan sebagai Sangat Terancam, Terancam dan Jarang Ditemui (Endangered, Rare and Treatened -ERT) tidak dibenarkan ditebang;

ii) kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan tidak dibenarkan untuk diusaha hasil; dan

iii) kawasan-kawasan yang mempunyai nilai perlindungan seperti kawasan tadahan air, kawasan zon penampan sungai, kawasan yang berkecerunan 40 darjah, jenut hidupan liar (salt-licks) dan kawasan sensitif alam sekitar yang terdapat di dalam kawasan lesen tidak dibenarkan diusaha hasil;

iv) melaksanakan inisiatif Central Forest Spine (CFS) bagi membentuk tulang belakang rangkaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan mengekalkan kawasan berhutan untuk pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi. CFS melibatkan kawasan seluas kira-kira 6.71 juta hektar di mana 71 peratus daripadanya melibatkan HSK. Manakala selebihnya merupakan hutan Tanah Kerajaan dan Tanah Berimilik;

v) membina lintasan hidupan liar (viaduct) di Sungai Deka, Terengganu, Sungai Yu di Pahang dan Gerik di Perak bagi mengelak dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang membabitkan hidupan liar;

vi) KeTSA melalui JPSM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) juga telah merancang untuk membina koridor ekologi di Mersing Johor yang akan melibatkan pembinaan jejambat  dan lintasan hidupan liar; dan

vii) mewujudkan Santuari Gajah Johor (Johor Elephant Sanctuary –JES) bagi mengurangkan ancaman konflik gajah dan manusia. JES telah mula beroperasi pada hujung tahun 2020 dan gajah-gajah dari kawasan konflik akan mula dipindahkan di JES pada pertengahan tahun 2022.

Sekian, terima kasih.

Attachments