Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

15 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

34

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDAM (KUALA LANGAT) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian dalam usaha pengawalan pengeluaran REE (Unsur Nadir Bumi) serta status kini pembangunan industri REE.​

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Dalam memastikan pembangunan industri NR-REE ini dilaksanakan secara terkawal dan teratur, KeTSA dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak telah membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE di Negeri Perak untuk pelaksanaan projek perintis perlombongan NR-REE di Negeri Perak. SOP ini telah diteliti oleh Jawatankuasa Eksekutif yang terdiri daripada individu-individu yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam bidang berkaitan perlombongan, hidrologi, hidrogeologi dan pembangunan lestari termasuk juga wakil daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta penggiat industri. Ia bertujuan untuk mewujudkan kerangka perlombongan yang bertanggungjawab dan mampan, di samping menjadi panduan kepada agensi-agensi kerajaan dan penggiat industri khususnya di Negeri Perak bagi memastikan industri ini tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar.

2. SOP tersebut mengambil kira keseluruhan aktiviti perlombongan yang merangkumi tiga (3) peringkat utama iaitu pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan. Bagi setiap peringkat tersebut, disediakan prosedur yang perlu dipatuhi agar aktiviti yang dijalankan menepati kehendak perundangan dan keselamatan yang berkaitan. Pemakaian SOP tersebut akan dilaksanakan di tapak projek perintis perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak, Perak Darul Ridzuan.

3. Pemakaian Prosedur Operasi Standard (SOP) Industri Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-NREE) ini akan diperluaskan ke lain-lain negeri dengan pindaan yang bersesuaian dengan negeri masing-masing setelah menerima hasil penilaian projek perintis perlombongan NR-REE di Negeri Perak. Inisiatif ini adalah sama seperti yang telah dilaksanakan seperti pemakaian SOP Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang.

4. Kementerian juga telah diamanahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengawal selia aktiviti pengeksportan unsur nadir bumi melalui pindaan kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) (Pindaan) 2021. Pindaan ini meletakkan kuasa mengeluarkan lesen eksport kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi unsur nadir bumi. Bagi peringkat awal, Kementerian menetapkan hanya unsur nadir bumi yang telah diproses sehingga Rare Earth Carbonate sahaja boleh dieksport.

5. Selain daripada pematuhan kepada SOP yang akan diluluskan, sebarang perlombongan NR-REE juga tertakluk kepada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan juga kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS – Operational Mining Scheme) oleh Ketua Pengarah JMG.

6. Pada masa ini, tiada operasi perlombongan NR-REE yang diluluskan oleh pihak Kementerian atau JMG di negara ini. Cadangan pelaksanaan projek perintis bagi perlombongan NR-REE di Negeri Perak masih lagi belum beroperasi memandangkan pertimbangan untuk kelulusan Skim Pengendalian Melombong hanya boleh dibuat setelah Prosedur Operasi Standard (SOP) Industri Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-NREE) Negeri Perak dikuatkuasakan dan laporan EIA diluluskan.

7. Selain itu, Kementerian juga sedang merancang untuk membangunkan industri NR-REE diperingkat pertengahan melalui cadangan pewujudan Pelan Pusat Pemprosesan Central Porcessing Plan (CPP). Cadangan pewujudan CPP ini adalah bagi mengelakkan sumber NR-REE dieksport secara mentah ke luar negara serta pada masa sama, adalah untuk menggalakkan sumber mineral NR-REE diproses bagi mendapatkan nilai tambah yang tinggi.

8. Kementerian juga berpandangan pelaksanaan sistem pensijilan seperti Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) untuk industri minyak sawit dan Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) untuk industri balak boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk mengesahkan industri mineral dijalankan secara bertanggungjawab dan mampan.

Sekian, terima kasih.

Attachments