Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

15 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

48

Soalan

TUAN LIM GUAN ENG (BAGAN) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan sebab Kerajaan tidak mengarahkan Tenaga Nasional Bhd. untuk menangguhkan kenaikan tarif elektrik kepada 1.6 juta perniagaan dan industri setinggi 20% sehingga kemelesetan ekonomi reda. Nyatakan rasionalnya membenarkan sebuah syarikat untung dengan membebankan seluruh rakyat Malaysia serta kesan ke atas kenaikan harga barangan. ​

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan mempunyai mekanisme khusus bagi penetapan purata tarif asas elektrik yang telah diguna pakai sejak tahun 2014 iaitu berdasarkan mekanisme Incentive Based Regulation (IBR). Melalui IBR ini, purata tarif asas di Semenanjung Malaysia untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan dikaji tiga (3) tahun sekali berserta dengan penetapan parameter-parameter untuk perniagaan TNB yang dikawal selia oleh Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST). Selain itu, Kerajaan juga mempunyai mekanisme khusus bagi pelarasan tarif elektrik iaitu melalui Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang disemak setiap enam (6) bulan. Mekanisme ICPT ini adalah penting memandangkan TNB telah membuat bayaran bagi semua kos penjanaan tenaga elektrik di Semenanjung bagi enam bulan yang terdahulu, maka bagi enam bulan yang berikutnya, mekanisme ICPT membenarkan segala kos yang telah dibuat oleh TNB dilepaskan kepada pengguna sama ada dalam bentuk rebat atau surcaj. Kerajaan pada 26 Januari 2022 telah meluluskan pelaksanaan tempoh regulatori ketiga (RP3) bagi tahun 2022 hingga 2024 di bawah mekanisme IBR.

2. Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2021, Kerajaan telah melepaskan rebat 2 sen/kWj kepada semua kategori pengguna di Semenanjung. Pemberian rebat ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM2.27 bilion.

3. Bagi tempoh Julai hingga Disember 2021, kos ICPT yang terlibat adalah sebanyak RM1.672 bilion bersamaan surcaj 3.70 sen/kWj yang perlu dilepaskan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung. Pelepasan surcaj ICPT sebanyak 3.70 sen/kWj kepada pengguna bagi tempoh Februari 2022 hingga Jun 2022 tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga arang batu sehingga USD105.09/metrik tan berbanding unjuran harga arang batu yang ditetapkan pada tahun 2021 iaitu sebanyak USD67.45/metrik tan. Peningkatan harga arang batu yang ketara ini telah menyebabkan kos penjanaan berasaskan arang batu meningkat sebanyak 45% bagi tempoh Julai hingga Disember 2021.

4. Sebarang kenaikan dalam harga arang batu memberi impak yang besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana 59% penjanaan elektrik adalah daripada sumber arang batu. Selain itu, kenaikan pertukaran mata wang asing bagi tempoh Julai hingga Disember 2021 iaitu pada kadar RM4.246 untuk setiap USD1.00 berbanding unjuran iaitu pada kadar RM4.212 bagi setiap USD1.00 turut menjadikan kos penjanaan meningkat.

5. Selain itu, sebarang penangguhan pelaksanaan ICPT akan memberi implikasi yang lebih signifikan kepada pengguna pada kitaran ICPT akan datang iaitu untuk tempoh Julai hingga Disember 2022. Ini kerana, kos ICPT bagi tempoh Julai hingga Disember 2022 dianggarkan lebih tinggi iaitu sebanyak RM5.736 bilion atau bersamaan surcaj 10.55 sen/kWj berdasarkan unjuran yang dibuat oleh Suruhanjaya Tenaga. Sekiranya kos ICPT bagi tempoh Februari hingga Jun 2022 ditangguhkan sehingga bulan Julai hingga Disember 2022, kos ICPT yang akan dilepaskan kepada semua pengguna adalah sebanyak 13.63 sen/kWj. Hal ini akan menyebabkan kesan yang lebih buruk kepada pengguna elektrik serta menjejaskan kedudukan kewangan negara.

6. Kerajaan menyedari bahawa sekiranya surcaj dilepaskan kepada semua pengguna seperti yang sepatutnya dilaksana berdasarkan mekanisme ICPT, pasti rakyat akan merasa terbeban disebabkan kenaikan tarif elektrik. Oleh itu, Kerajaan telah memutuskan supaya rebat 2 sen/kWj diteruskan kepada semua pengguna domestik bagi tempoh Februari sehingga Jun 2022 dengan membelanjakan RM715 juta daripada dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE). Dalam masa yang sama, TNB telah menyerap kos ICPT pada bulan Januari 2022 sebanyak RM181 juta walaupun kos tersebut sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna.

7. Bagi menghadapi situasi ini, saya ingin menyarankan agar pengguna-pengguna bukan domestik untuk melanggan inisiatif Green Electricity Tariff (GET). Ia bukan sahaja dapat mengecualikan pelanggan GET daripada membayar surcaj ICPT untuk tempoh setahun, malah mereka akan turut memiliki Renewable Energy Certificate (REC) yang boleh membantu mereka memenuhi komitmen Environmental, Social and Governance (ESG), dengan izin,  dan menyokong agenda Tenaga Boleh Baharu negara.

8. Selain itu, pengguna-pengguna bukan domestik turut dicadangkan untuk meneroka potensi solar melalui pemasangan sistem solar bagi kegunaan sendiri (self-consumption – SelCo) atau menyertai Program Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0). Kementerian juga menyarankan pemain-pemain industri untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dengan menggunakan peralatan cekap tenaga yang mendapat penarafan 4 atau 5 bintang oleh pihak Suruhanjaya Tenaga. Inisiatif-inisiatif ini dapat membantu pengguna komersial dan industri untuk mengurangkan bil elektrik mereka pada masa akan datang.

9. Bagi memastikan kepentingan pengguna terpelihara, saya yakin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa giat melakukan pemantauan harga di pasaran agar tiada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk memanipulasi harga dengan menaikkan harga barang bagi mengaut keuntungan berlebihan.

Sekian, terima kasih.

Attachments