Tuan Yang di-Pertua,
1. Kerajaan Negeri Sarawak telah menubuhkan satu pasukan petugas khas iaitu Special Task Force on Floating Debris along Batang Baleh yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak bagi menangani isu sisa kayu balak hanyut di Batang Baleh, Kapit. Antara objektif penubuhan pasukan petugas khas tersebut adalah seperti berikut:
i) mencari jalan penyelesaian terhadap masalah berkaitan dengan sisa kayu balak hanyut di Batang Baleh;
ii) mengemukakan pelan tindakan mengenai sisa kayu hanyut untuk pertimbangan dan kelulusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri; dan
iii) meningkatkan kerjasama di antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam menangani isu ini termasuk daripada pemain industri dan komuniti setempat.
2. Antara tindakan yang diambil oleh pasukan petugas khas tersebut bagi mengelakkan kejadian longgokan sisa kayu balak hanyut daripada berulang adalah seperti berikut:
i) menggantung sementara operasi pembalakan salvaj (salvage logging operation) di kawasan pembinaan empangan hidro elektrik Baleh;
ii) sedang melaksanakan operasi pembersihan sisa kayu di sepanjang Batang Baleh;
iii) memasang perangkap sisa kayu atau log boom, dengan izin di kawasan yang strategik di Batang Baleh, Sungai Melatai, Sungai Mengiong dan Sungai Entulu;
iv) melaksanakan operasi pemantauan secara berkala melalui udara dan darat termasuk penubuhan stesen pemantauan di beberapa lokasi hotspot;
v) sedang menambah baik Biomass Removal Plan (BRP) dengan mengambil kira pengurusan BRP yang lebih komprehensif meliputi pelan operasi pembalakan salvaj, pelupusan biomass dan penentuan zon penampan;
vi) sedang mengemaskini Prosedur Operasi Standard (SOP) agensi-agensi kerajaan di peringkat negeri yang terlibat; dan
vii) sedang mengkaji kesesuaian zon penampan yang akan diwujudkan di kawasan empangan hidroelektrik Batang Baleh.
Sekian, terima kasih.