Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

24 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

54

Soalan

DATUK HAJI AHMAD JAZLAN BIN YAAKUB ( MACHANG ) Minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan adakah Kementerian telah melaksanakan perbincangan meja bulat bersama pemain industri sebelum menaikkan kadar tarif elektrik yang berkuatkuasa 1 Febuari lalu. Adakah Kementerian sedar bahawa tindakan menaikkan kadar lebih daripada 15 peratus atau 25 peratus di luar waktu puncak amat membebankan dan akan mengganggu rantaian bekalan serta kos barangan. Apakah tindakan Kementerian bagi mengatasi masalah ini. ​

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Pelarasan tarif elektrik di Semenanjung di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) disemak setiap enam bulan sekali dengan mengambil kira harga bahan api di pasaran dunia serta kos-kos penjanaan yang lain untuk tempoh enam bulan ke belakang. Dalam hal ini, pemain industri telah menjangkakan kenaikan tarif elektrik berikutan kenaikan harga bahan api di pasaran dunia terutamanya harga arang batu yang meningkat sebanyak 45% dan perkara ini adalah di luar kawalan Kerajaan.

2. Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA melalui kenyataan media pada 29 Januari 2022 menyambut baik keputusan Kerajaan tersebut dan tidak menafikan akan ada kenaikan harga barang di pasaran kerana peningkatan kos operasi yang perlu ditanggung oleh pihak industri. Dalam sesi tersebut, FOMCA telah menyarankan agar Kerajaan menyediakan inisiatif-inisiatif yang dapat membantu mengurangkan kos operasi pihak industri.

3. Kementerian menyedari kegusaran pemain industri mengenai surcaj yang dikenakan melalui ICPT pada kali ini. Maka, pengguna-pengguna terutamanya daripada kategori komersial dan industri digalakkan untuk melanggan inisiatif Green Electricity Tariff (GET) yang bukan sahaja boleh membantu mengurangkan bil elektrik kerana pelanggan GET akan dikecualikan daripada membayar surcaj untuk tempoh setahun, malah mereka akan turut memiliki Renewable Energy Certificate (REC) yang menyokong agenda Tenaga Boleh Baharu negara.

4. Selain itu, pengguna-pengguna bukan domestik juga dicadangkan untuk menerokai potensi solar melalui pemasangan sistem solar bagi kegunaan sendiri (self-consumption – SelCo) atau menyertai Program Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0). Kementerian juga menyarankan pemain industri untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dan menggunakan peralatan cekap tenaga yang mendapat penarafan 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga.

5. Bagi pemilik-pemilik syarikat yang merupakan pengguna elektrik di bawah kategori industri atau komersial yang menggunakan lebih 3 juta kWj dalam tempoh enam bulan berturut-turut di premis mereka dan berdaftar di bawah Peraturan Tenaga Elektrik 2008 boleh memohon dana melalui “Program Geran Audit Tenaga Bersyarat dan Pengurusan Tenaga dalam Sektor Industri dan Komersial" untuk melaksanakan audit tenaga secara kolaborasi dengan Syarikat Perkhidmatan Tenaga – Energy Service Company (ESCO) bagi mengenal pasti potensi penjimatan tenaga elektrik di premis dan pepasangan mereka.

6. Insiatif-inisiatif tersebut bukan sahaja dapat membantu mengurangkan bil elektrik bagi pengguna bukan domestik, malah ia dapat dilihat sebagai usaha ke arah melestarikan perniagaan masing-masing dalam memenuhi komitmen ESG mereka.

7. Selain itu, ST juga telah dan akan mengadakan beberapa sesi libat urus bagi menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan proses penetapan tarif elektrik di Malaysia melalui mekanisma Incentive-Based Regulation (IBR) dan pelarasan tarif yang dilaksanakan setiap enam (6) bulan melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT). Sesi libat urus tersebut diadakan secara berfasa bermula pada 27 Januari 2022 hingga 9 Mac 2022 yang melibatkan SME Association, Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) dan Malaysian Investment Development Authority (MIDA).

Sekian, terima kasih.

Attachments