Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

24 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

82

Soalan

PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR (PERMATANG PAUH) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan langkah Kerajaan pusat mewujudkan insentif kewangan tertentu supaya Kerajaan negeri tidak menyalah guna atau terlalu bergantung kepada penjualan hasil hutan di seluruh Malaysia, memandangkan Malaysia telah kehilangan sebanyak 8.39 hektar litupan hutan dari tahun 2001 hingga 2020 menurut laporan Global Forest Watch.​

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Data terkini keluasan hutan di Malaysia adalah seluas 18,273,487 hektar iaitu peningkatan sebanyak 177,869 hektar berbanding 18,095,618 hektar pada tahun 2001. Sehubungan itu, Malaysia masih mengekalkan litupan kawasan berhutan melebihi 50 peratus selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.

2. Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) pada tahun 2019 sebagai satu bentuk insentif kepada Kerajaan-kerajaan Negeri bagi melindungi dan memulihara kawasan perlindungan (protected areas - PA). EFT menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam konservasi biodiversiti serta menggalakkan Kerajaan Negeri mewartakan kawasan perlindungan yang merupakan kawasan penting bagi perkhidmatan ekosistem (ecosystem services) termasuk sebagai kawasan tadahan air dan perlindungan hidupan liar.

3. Sejak diperkenalkan pada tahun 2019 melalui Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 27 Mei 2019, sebanyak RM60 juta telah diagihkan pada tahun 2019 dan RM70 juta pada tahun 2021 kepada Kerajaan-kerajaan Negeri melalui Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP). Peruntukan EFT berjumlah RM70 juta akan disediakan dan diagihkan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri pada tahun 2022 sebagai satu bentuk pemberian khusus di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA). Mekanisme pelaksanaannya telah diperkukuhkan melalui kriteria ekologi berasaskan keberhasilan.

4. Selain itu, Mekanisme Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation (REDD Plus) telah dibangunkan di bawah United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) bertujuan untuk memberikan nilai kewangan terhadap penyerapan karbon oleh hutan serta menawarkan insentif kepada negara-negara membangun bagi mengekalkan hutan dan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) daripada aktiviti perhutanan. KeTSA pada masa ini sedang memuktamadkan Kerangka Kewangan REDD Plus atau REDD Plus Finance Framework (RFF) yang merupakan satu inisiatif kewangan kepada Kerajaan Negeri bagi melaksanakan aktiviti mengekalkan dan memulihara hutan serta menjamin ekosistem hutan yang berterusan. Bagi melaksanakan pengoperasian RFF, KeTSA juga telah menubuhkan sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) iaitu Malaysia Forest Fund atau MFF.

Sekian, terima kasih.

Attachments