Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

24 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

90

Soalan

​​TUAN NOOR AMIN BIN AHMAD ( KANGAR ) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah jenis dan berapa jumlah subsidi yang diberikan oleh Kementerian dalam rantaian sektor penghasilan tenaga di Malaysia. Adakah ia lestari dari segi kewangan dan juga usaha Kementerian menangani perubahan iklim. Apakah kesan langkah Kementerian untuk beranjak ke sumber tenaga yang lebih bersih.​

Jawapan

Tuan Yang Dipertua,

1. Penetapan kadar tarif elektrik di Semenanjung dan Sabah dilaksanakan melalui mekanisme Incentive Based Regulation (IBR). Di bawah mekanisme ini, kadar tarif asas elektrik diselaraskan setiap 3 tahun manakala perubahan kos bahan api diselaraskan setiap 6 bulan. Oleh itu, melalui mekanisme ini, tiada pemberian subsidi oleh Kerajaan bagi pembekalan elektrik di Semenanjung dan Sabah.

2. Namun begitu, berikutan impak penularan pandemik COVID-19 kepada ekonomi negara dan rakyat Malaysia, Kerajaan telah meluluskan beberapa pakej pemberian diskaun bil elektrik pada tahun 2020 dan 2021 yang melibatkan pemberian diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM3.69 bilion.

3. Selain itu, sejak tahun 2005 hingga 2021, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan subsidi yang terdiri daripada subsidi bahan api, subsidi solar dan subsidi sokongan tarif yang berjumlah sekitar RM8.35 bilion kepada Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) supaya purata tarif asas elektrik di Sabah dapat dikekalkan pada kadar 34.52 sen/kWj berbanding kos pembekalan elektrik sebenar di Sabah iaitu 43.83 sen/kWj.

4. Oleh yang demikian, bagi memastikan kemampanan operasi SESB, Kerajaan telah melaksanakan mekanisme Incentive Based Regulation (IBR) di Sabah bermula pada 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2024 agar pemberian subsidi tahunan oleh Kerajaan Persekutuan kepada SESB dapat distrukturkan semula dan dikurangkan secara berperingkat supaya tarif elektrik yang dikenakan kepada pengguna di Sabah adalah berdasarkan kos pembekalan elektrik yang sebenar.

5. Bagi menangani impak perubahan iklim serta mengurangkan jejak karbon bagi sektor pembekalan elektrik, Kerajaan telah menetapkan perancangan yang komprehensif untuk beralih ke sumber tenaga yang lebih bersih. Ini termasuklah:

i) Penetapan sasaran kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada 40% menjelang tahun 2035 melalui pelaksanaan Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER);

ii) tiada lagi pembinaan loji janakuasa arang batu baharu bagi menggantikan loji-loji janakuasa arang batu yang tamat tempoh operasi dan  merancang pembangunan loji janakuasa elektrik dari sumber yang mesra alam;

iii) memperkenalkan 'battery energy storage system - BESS' pada 2030 bagi menyokong pembangunan TBB; dan

iv) penetapan sasaran 8% penjimatan penggunaan tenaga elektrik melalui usaha kecekapan tenaga menjelang tahun 2025, berbanding tahun 2016 di bawah National Energy Efficiency Action Plan (NEEAP).

6. Langkah-langkah peralihan tenaga ini berupaya menurunkan intensiti pelepasan karbon berbanding nilai KDNK bagi sektor bekalan elektrik kepada 45% pada tahun 2030 dan 60% pada tahun 2035, berbanding intensiti pada tahun 2005. Usaha ini juga akan menyumbang kepada aspirasi perubahan iklim negara sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12.

Sekian, terima kasih.

Attachments