Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

37

Soalan

TUAN AHMAD TARMIZI BIN SULAIMAN (SIK) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan langkah untuk mengawal pembalakan di kawasan tadahan air khusus di Hutan Simpan Ulu Muda, Hutan Simpan Rimba Teloi Sik supaya ia tidak menjejaskan kawasan tadahan serta kelestarian hutan khazanah negara terus dipelihara.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, luas keseluruhan kawasan Hutan Simpan Ulu Muda yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) ialah 106,418 hektar. Daripada jumlah tersebut seluas 16,229 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air manakala seluas 11,118 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Taman Negeri dan seluas 79,071 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Pengeluaran.

2. Bagi Hutan Simpan Rimba Teloi Sik, sebanyak 6,055 hektar telah dikelaskan sebagai Hutan Tadahan Air dan 27,093.95 hektar telah dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran daripada keseluruhan kawasan seluas 33,148.95 hektar.

3. Bagi keluasan di dalam Hutan Simpan Ulu Muda dan Hutan Simpan Rimba Teloi Sik yang telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan, Hutan Tadahan Air dan Hutan Taman Negeri, tiada aktiviti pembalakan dan pembangunan dibenarkan dalam kawasan tersebut. Manakala bagi aktiviti pengusaha hasilan hutan yang dijalankan di kawasan dalam HSK yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran, prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM) adalah terpakai.

4. Langkah-langkah yang telah diambil oleh Jabatan Perhutanan Negeri untuk mengawal aktiviti pembalakan di negeri Kedah, khususnya di Hutan Simpan Ulu Muda dan Hutan Simpan Rimba Teloi Sik ialah:

i) melaksanakan aktiviti pemantauan secara berkala di kawasan yang terlibat dengan pengusaha hasilan hutan bagi memastikan pelesen mematuhi had pengeluaran isipadu maksimum yang dibenarkan untuk dikeluarkan bagi setiap kawasan yang dilesenkan;

ii) melaksanakan 6 kali operasi penguatkuasaaan secara bersepadu dengan agensi-agensi di peringkat negeri seperti Pejabat Tanah dan Daerah, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 2021;

iii) memastikan pelesen menyediakan Rancangan Mengusaha Hasil Hutan (RMH) sebelum lesen pengusaha hasilan hutan dikeluarkan, meliputi perancangan pelaksanaan pengusaha hasilan di dalam kawasan lesen; dan

iv) melaksanakan pemeriksaan dan penandaan pokok yang matang untuk diusaha hasil. Pokok-pokok yang mempunyai nilai perlindungan seperti pokok ibu, pokok buah-buahan untuk kepentingan hidupan liar dan spesies-spesies pokok yang dikategorikan sebagai Sangat Terancam, Terancam dan Jarang Ditemui (Endangered, Rare and Treatened -ERT) tidak dibenarkan ditebang.

Sekian, terima kasih.

Attachments