Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Tenaga, Biodiversiti, Tanah, Perhutanan, Mineral

Nombor Soalan

185

Soalan

PUAN KASTHURIRAANI A/P PATTO ( BATU KAWAN ) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah tindakan jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani isu harimau yang berkeliaran di Gua Musang, status pembinaan Empangan Hidroelektrik Mega dan kelulusan tanah-tanah Orang Asli untuk tujuan pembalakan, perlombongan dan perladangan yang menjejaskan keselamatan dan sosioekonomi Orang Asli seperti yang terkandung dalam Memorandum daripada Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan yang diberikan pada 11 Januari 2022.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah mengambil beberapa tindakan bersifat jangka masa pendek dan panjang bagi menangani isu harimau yang berkeliaran di Gua Musang, Kelantan. Antara tindakan yang telah diambil adalah seperti berikut:

i) memasang perangkap kamera di sekitar kawasan perkampungan dan denai laluan hidupan liar. Sebanyak 64 unit perangkap kamera telah dipasang;

ii) menerbangkan dron di lokasi-lokasi yang mudah dilihat seperti jalan-jalan balak bagi memantau kehadiran harimau;

iii) melaksanakan pemantauan dan kawalan oleh kakitangan operasi di lokasi;

iv) mendapatkan kerjasama daripada penduduk tempatan supaya mereka akan menghubungi petugas operasi sekiranya terdapat kesan-kesan baru kemunculan harimau; dan

v) mendapatkan kerjasama di antara agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi membantu menjaga keselamatan dan kebajikan penduduk kampung.

2. Di samping itu, satu Mesyuarat Operasi Tangkapan Harimau Belang yang dipengerusikan oleh Pengarah PERHILITAN Negeri Kelantan telah diadakan pada 4 Januari 2022 bagi menyelaras strategi dan tindakan bagi operasi bagi menangkap harimau yang berkeliaran di Gua Musang. Operasi penangkapan telah dan masih diteruskan oleh pihak PERHILITAN di Pos Bihai, Gua Musang melalui Bilik Operasi yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Bihai.

3. Mesyuarat khas mengenai isu harimau juga telah diadakan pada 24 Februari 2022 yang dihadiri oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan PERHILITAN, Jabatan Pendidikan Negeri, Ketua Polis Daerah dan Pasukan Gerakan Am. Susulan mesyuarat tersebut, pihak JAKOA dan PERHILITAN telah mengadakan pertemuan dengan penduduk di Pos Bihai yang terlibat dengan kejadian kemunculan harimau tersebut pada 25 Februari 2022.

4. Sehingga kini, pihak JAKOA telah menyalurkan bantuan bakul makanan sebanyak dua (2) kali dan khidmat sokongan moral bagi 305 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas. Tambahan bantuan bakul makan turut diterima oleh KIR sebanyak dua (2) kali daripada pihak Majlis Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Pihak JAKOA juga telah menempatkan tiga (3) pasukan selama tiga (3) minggu di Pos Bihai secara giliran bagi menguruskan isu ini.

5. Kerajaan Negeri Kelantan juga telah mengambil beberapa tindakan bagi menangani isu harimau yang berkeliaran di jajahan Gua Musang, Kelantan melalui tindakan berikut:

i) mewujudkan Taman Perlindungan Ekosistem Sultan Ismail Petra di Hutan Simpan Gunung Basor seluas 2,568.47 hektar;

ii) menubuhkan rangkaian ekologi Central Forest Spine (CFS) di Jajahan Gua Musang bagi tujuan penyambungan semula hutan-hutan yang terpisah dan mengekalkan kawasan berhutan untuk habitat hidupan liar; dan

iii) melaksanakan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan hutan simpan dalam jajahan Gua Musang.

6. Bagi status pembinaan Projek Hidroelektrik Nenggiri pula, pembinaannya adalah masih dalam fasa pra-pembinaan dan kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 1 Mac 2022. Mengambil kira pengalaman-pengalaman TNB dalam pembangunan projek hidroelektrik serta komitmen TNB dalam pelaksanaan pembangunan lestari, maka langkah-langkah mitigasi telahpun dirangka melalui Pelan Pengurusan Hidupan Liar atau Wildlife Management Plan (WMP) yang telah diluluskan oleh Jabatan Perhilitan pada Januari 2018.  Pelaksanaan WMP bagi projek ini akan melibatkan kolaborasi bersama Jabatan Perhilitan, pakar-pakar hidupan liar daripada universiti tempatan dan juga NGO. Fokus utama pelaksanaan WMP ini adalah bagi membolehkan pembangunan projek ini dilaksanakan secara berharmoni dengan alam sekitar.

7. Sebagai tindakan proaktif, TNB juga telah mengambil kira konflik harimau-manusia dalam pelan tersebut. Antara lain, pelan jangka pendek yang sedang dan akan dilaksanakan adalah pemantauan bersama Jabatan Perhilitan dan taklimat menerusi sesi libat urus bersama komuniti sekitar. Pelan jangka panjang, seperti pemantauan populasi harimau dan penilaian kesan pembangunan projek hidroelektrik ini juga sedang dirangka sebagai langkah mitigasi seterusnya menguruskan risiko konflik harimau-manusia berkenaan.

Sekian, terima kasih.

Attachments