Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

390

Soalan

TUAN SANISVARA NETHAJI RAYER A/L RAJAJI ( JELUTONG ) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan adakah benar kejadian banjir di kawasan Temerloh, Bentong, Mentakab dan kawasan-kawasan lain di negeri Pahang disebabkan oleh aktiviti pembalakan haram.​​​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia melalui Jabatan Perhutanan Pahang telah membuat semakan lapangan dan udara ke atas beberapa lokasi yang dikaitkan dengan aktiviti pembalakan menyebabkan kejadian banjir iaitu di Jalan Bentong - Karak berhampiran Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Karak dan Jambatan Sri Telemong. Hasil semakan mendapati kejadian banjir yang berlaku bukan disebabkan oleh aktiviti pembalakan haram tetapi berpunca daripada kejadian kepala air di kedua-dua lokasi ini yang bermula di Hutan Simpan Lentang akibat hujan lebat yang berterusan selama 3 hari bermula 16 Disember 2021 hingga hari kejadian banjir besar di Bentong pada 18 Disember 2021. Kejadian hujan lebat ini menyebabkan tanah di kawasan tinggi menjadi tepu air dan seterusnya menyebabkan struktur tanah menjadi lemah sehingga berlakunya tanah runtuh terutamanya di kawasan hulu lembangan yang bercerun.

2. Jabatan Perhutanan Pahang juga mengesahkan bahawa tiada sebarang aktiviti pengusaha hasilan hutan sama ada di dalam Hutan Simpan Lentang, Tanah Kerajaan dan Tanah Berimilik di kedua-dua lokasi. Sebahagian besar atau 82.06 peratus (21,845.80 hektar) daripada keseluruhan Hutan Simpan Lentang (26,446.38 hektar) telah dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan Tanah, Hutan Tadahan air dan Hutan Pelajaran. Manakala baki sebanyak 17.38 peratus (4,600.56 hektar) merupakan Hutan Pengeluaran. Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang lesen pengusaha hasilan hutan diluluskan di Hutan Simpan Lentang. Selain itu, kawasan Hutan Simpan Lentang di Sungai Kerau seluas 30 hektar juga telah dijadikan sebagai petak High Conservation Value Forest (HCVF) sejak tahun 2012. HCVF merupakan kawasan Hutan Perlindungan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pengusaha hasilan hutan.

3. Selain itu, hasil siasatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) di sepanjang Lebuhraya Karak – Lebuhraya Pantai Timur sehingga plaza tol Bentong Barat dan di sekitar pekan Karak ke Telemong mendapati bahawa terdapat empat kesan aliran puing utama (debris) bermula daripada arah timur sehingga ke barat, iaitu Sungai Mereh, Sungai Gajan, Sungai Dua, Sungai Temeriak, Sungai Kerau, Sungai Timbul dan Sungai Perdak. Aliran puing ini terjadi akibat daripada beberapa siri tanah runtuh yang menyumbang kepada kemasukan sisa-sisa runtuhan ke dalam sungai. Ini seterusnya menyebabkan aliran sungai menjadi terganggu dan tersekat dengan sisa-sia runtuhan bersaiz besar seperti pokok/kayu, batuan tongkol dan bahan sisa lain yang membentuk empangan di tengah-tengah sungai. Kadar aliran sungai yang tinggi menyebabkan empangan ini pecah dan seterusnya menyebabkan aliran puing dan banjir puing di kawasan yang terdapat penghadang seperti jambatan serta kawasan lebih rendah.

4. Semakan Jabatan Perhutanan Pahang di lapangan juga mendapati banjir lumpur bersama kayu hanyut yang melanda bukanlah terdiri daripada kayu balak, sebaliknya ia adalah kayu kayan yang juga sebahagian daripada puing akibat runtuhan bukit besar ketika hujan lebat. Kebanyakan kayu yang hanyut adalah kecil bersama akar, anak pokok yang halus dan hancur termasuk pelbagai sisa batang pokok serta kayu yang terdiri daripada pelbagai jenis termasuk durian, getah dan kelapa sawit.

Sekian, terima kasih.

Attachments