Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

509

Soalan

TUAN WONG KAH WOH ( IPOH TIMUR ) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan usaha-usaha yang telah / akan dilaksanakan oleh Kerajaan untuk memelihara bukit batu kapur di sekitar Ipoh yang merupakan warisan semulajadi yang penting dan unik serta tindakan yang diambil terhadap pengawalan kuari batu kapur. ​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian ini melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Perak (JMG) secara progresif sejak sekian lama memastikan aktiviti pengkuarian batu kapur dilaksanakan secara teratur dan mengikut amalan kejuruteraan terbaik tanpa mengabaikan aspek alam sekitar dan keselamatan pekerjaan serta penduduk sekitarnya. Pada masa sama, sebarang kawasan dikekalkan sebagai warisan semulajadi.

2. Terdapat sekurang-kurangnya 57 bukit batu kapur di negeri Perak dengan 37 bukit batu kapur terletak di kawasan Ipoh merentasi dari bahagian utara sehingga ke selatan Lembah Kinta. Kawasan Ipoh secara amnya didasari oleh batu kapur dari Formasi Kinta dan diapit oleh dua kawasan bertopografi tinggi yang terdiri daripada batuan granit iaitu Banjaran Kledang di sebelah barat dan Banjaran Titiwangsa di sebelah timur. Lapisan batu kapur di Ipoh membentuk gugusan perbukitan kecil berbentuk mogot yang dapat dilihat di permukaan bumi.

3. Bagi memelihara kawasan bukit batu kapur di sekitar Perak, cadangan pembangunan Geopark Lembah Kinta telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Perak melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Bil. 1785 pada 6 Ogos 2014. Kawasan geopark ini meliputi keseluruhan Daerah Kinta dan Kampar, kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Daerah Batu Gajah dan Majlis Daerah Kampar serta kawasan Bukit Batu Kapur di sekitar Ipoh, Perak.

4. Geopark Lembah Kinta ini seterusnya telah diperakukan sebagai Geopark Kebangsaan pada Julai 2017 juga telah disempurnakan sebagai Geopark Kebangsaan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pada Disember 2018.

5. Perakuan dan pengiktirafan Geopark Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsan adalah inisiatif yang dijalankan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam usaha memelihara keunikan bukit-bukit batu kapur di sekitar Ipoh yang merupakan warisan semulajadi yang penting di samping mengalakkan pelaksanaan pembangunan wilayah secara lestari. Pemeliharan sumber warisan semula jadi ini juga melibatkan aktiviti geopelancongan, pendidikan dan pembangunan secara lestari dan mampan serta membantu dalam menjana ekonomi masyarakat setempat.

6. Tidak semua bukit batu kapur di sekitar Ipoh dibangunkan untuk tujuan perindustrian, sebahagian besar daripadanya dikekalkan dalam keadaan asal manakala bagi kawasan yang telah ditinggalkan akan menjalani proses pemulihan. Sebaliknya, kawasan pengkuarian sedia ada akan diusahakan secara bertanggungjawab dan mampan selaras dengan komitmen Kementerian terhadap sasaran di bawah Sustainable Development Goals 2030 (SDG 2030) dan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara (TIM) 2021-2030.

7. Industri pengkuarian tertakluk kepada perundangan negeri dan Persekutuan iaitu Kanun Tanah Negara, Peraturan Kuari Perak 1997, Enakmen Mineral Perak 2003 dan Akta Pembangunan Mineral 1994. Oleh itu, Jawatankuasa Penasihat Pengkuarian Negeri Perak yang ditubuhkan bertujuan mempertimbangkan permohonan tapak kuari, pengoperasian kuari dan keperluan pemulihan tanah kuari, bekas tapak kuari, pemulihan progresif bagi kuari aktif dan pelan pemulihan bagi kawasan baharu.

8. Pindaan kepada takrifan batu kapur di Negeri Perak  sebagai bahan mineral membolehkan aktiviti ini ditadbir dan dikawal selia dibawah Enakmen Mineral (Perak) 2003 dan Akta Pembangunan Mineral 1994. Oleh itu, semua permohonan baharu tanah kuari dikeluarkan sebagai Pajakan Melombong (Mining Lease – ML) atau Lesen Melombong Tuan Punya (Proprietary Mining License – PML) bagi tanah persendirian. Bagi tanah kuari sedia ada di bawah Pajakan Negeri yang masih berkuat kuasa dibawah Kanun Tanah Negara 1965 (KTN) juga diminta untuk membuat pertukaran kepada ML atau PML di mana berkaitan.  Langkah ini dibuat bagi memastikan kawal selia aktiviti pengkuarian di Negeri Perak boleh dilaksanakan di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 yang lebih berkesan dan teratur.

Sekian, terima kasih.
Attachments