Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

21 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Biodiversiti, PERHILITAN

Nombor Soalan

7

Soalan

PUAN LIM HUI YING minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan langkah untuk memastikan Harimau Malaya di Malaysia tidak pupus.​

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Berdasarkan dapatan Survei Harimau Pertama (First National Tiger Survey - NTS1) yang telah dilaksanakan mulai tahun 2016 hingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya terkini adalah kurang daripada 150 ekor. Pada bilangan ini, Malaysia dijangka akan kehilangan spesies Harimau Malaya dalam tempoh 5 hingga 10 tahun sekiranya tindakan drastik (extraordinary actions) tidak diambil dengan segera.

2. Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021, KeTSA melalui Jabatan PERHILITAN) telah menerajui tindakan-tindakan luar biasa (extraordinary actions) bagi konservasi Harimau Malaya dan habitatnya bagi tempoh 10 tahun mulai 2021 hingga 2030.

3. Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force - MyTTF) yang dipengerusikan oleh YAB Dato' Sri Perdana Menteri telah diadakan pada 10 Januari 2022. MyTTF berperanan menyelaras pelaksanaan dan pemantauan tindakan-tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya serta memperkukuhkan kerjasama pihak-pihak berkepentingan khususnya Kerajaan-kerajaan Negeri. MyTTF dianggotai oleh YAB Menteri Besar dari Negeri Rayauan Harimau (Tiger Range States - TRS) iaitu Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu serta YB Menteri Kerajaan Persekutuan dan lain-lain Jabatan/Agensi Kerajaan yang berkaitan. Negeri Rayauan Harimau merupakan negeri yang mempunyai jajaran hutan yang masih berfungsi sebagai habitat dan kawasan keliaran Harimau Malaya. Mesyuarat Pertama MyTTF bersetuju dengan tindakan-tindakan berikut:

i) Mempergiatkan pengawasan di lapangan (boots on the ground) yang melibatkan Jabatan PERHILITAN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi-agensi penguatkuasaan, veteran ATM, veteran PDRM dan komuniti Orang Asli;

ii) mengekalkan dan mengukuhkan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan dan menghentikan sebarang kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram;

iii) meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia dari 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040 selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4);

iv) memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Jabatan PERHILITAN, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM dan mengukuhkan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan (centre of excellence) bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya;

v) memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) yang sedia ada dan melaksanakan skim akreditasi habitat Harimau Malaya; dan

vi) melaksanakan kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakan strategik. Antara program yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019 adalah seperti temuramah dan bual bicara bersama media, promosi kempen pada bas RAPID di sekitar Lembah Klang dan menerusi video Pengumuman Perkhidmatan Awam (Public Service Announcement-PSA) di stesen-stesen radio dan televisyen milik kerajaan dan swasta, kerjasama dengan pelbagai pemegang taruh seperti Yayasan Hijau Malaysia, Yayasan Sime Darby dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC). KeTSA juga telah memeterai Memorandum Persefahaman dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi meningkatkan penglibatan dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan konservasi Harimau Malaya.

Sekian, terima kasih.

Attachments