Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

21 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan, Tanah

Nombor Soalan

23

Soalan

DATUK SERI HAJAH ZURAINAH BINTI MUSA minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan sejauh manakah kerjasama dan langkah koordinasi yang dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri dalam memantau aktiviti pembalakan dan penjualan tanah hutan secara haram di Malaysia. Perkara ini penting demi menjaga dan melestarikan hutan Malaysia.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sentiasa bekerjasama dengan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri dan memantau aktiviti pembalakan haram di Semenanjung Malaysia. Terdapat jawatankuasa sedia ada yang turut membincangkan tentang isu pembalakan dan penjualan tanah hutan secara haram iaitu Jawatankuasa Pemantauan Operasi Hutan dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Hutan Daerah yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia.

2. Selain itu, JPSM turut menjalankan operasi penguatkuasaan secara bersepadu yang melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan di peringkat persekutuan dan negeri. Antara agensi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sepanjang tempoh tahun 2021, sebanyak 56 operasi penguatkuasaan bersepadu telah dijalankan oleh JPSM.

3. Merujuk kepada kenyataan Yang Berhormat mengenai penjualan tanah hutan secara haram, semakan oleh JPSM dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri mendapati bahawa kawasan yang diiklankan adalah bukan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK). Walau bagaimanapun, di negeri Kelantan dan Kedah, terdapat kawasan HSK telah dikesan dan diteroka secara haram oleh sekumpulan sindiket dengan menanam pokok kelapa sawit, pokok buah-buahan dan pokok getah sebelum menjual tanah berkenaan pada harga rendah kepada orang ramai. Tindakan penguatkuasaan telah diambil mengikut perundangan sedia ada.

4. Di Sabah pula, Pejabat Hasil Bumi Sabah melalui Jabatan Perhutanan Sabah sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan persekutuan seperti PDRM, SPRM dan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (The Eastern Sabah Security Command - ESSCOM) dari segi pertukaran maklumat risikan dan operasi penguatkuasaan. Selain itu, agensi-agensi negeri seperti Jabatan Hidupan Liar Sabah, Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Majlis Perbandaran Sandakan dan badan bukan kerajaan seperti World Wide Fund for Nature (WWF-Malaysia) turut menyertai Operasi Bersepadu Khazanah yang dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am PDRM.

5. Operasi penguatkuasaan dan pemantauan aktiviti pembalakan haram di Sarawak diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (KSAPB) melalui satu jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Pasukan Petugas Pembalakan Haram. Jawatankuasa ini berperanan bagi merangka pelbagai strategi dan pelan tindakan yang dilaksanakan serta melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan persekutuan dan negeri seperti Jabatan Hutan Sarawak, Sarawak Forestry Corpration, Pasukan Gerakan Khas KSAPB, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan JPJ.

Sekian, terima kasih.
Attachments