Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

23 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

9

Soalan

DATUK RAZALI BIN IDRIS minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan tumpuan Kerajaan Pusat berhubung zon dibenarkan pembalakan, kaedah pembalakan, penguatkuasaan serta penyelarasan dasar antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, zon dibenarkan pembalakan di negara ini melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran, Tanah Kerajaan dan Tanah Berimilik.

2. Pembalakan di Hutan Pengeluaran dilaksanakan secara terkawal melalui Catuan Tebangan Tahunan (CTT) berdasarkan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management - SFM) menerusi Sistem Pengurusan Memilih (Selective Management System - SMS). CTT bertujuan mengimbangi jumlah pengeluaran kayu dengan keupayaan dan keluasan sesuatu kawasan Hutan Pengeluaran dalam HSK. Kadar CTT diputuskan dalam Majlis Tanah Negara (MTN) pada setiap tempoh Rancangan Malaysia Lima Tahun. Penetapan CTT adalah berasaskan kepada keupayaan pemulihan semula jadi (natural regeneration capacity) kawasan yang diusaha hasil. Setiap Kerajaan Negeri perlu mematuhi kadar CTT yang telah ditetapkan dan pematuhan terhadap CTT dilaporkan dalam mesyuarat MTN.

3. Bagi tujuan pelesenan pembalakan di Hutan Tanah Kerajaan dan Tanah Berimilik, ianya tertakluk kepada pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling [Aktiviti Yang Ditetapkan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) 2015] yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri akan mengeluarkan lesen pembalakan selepas laporan EIA diluluskan oleh JAS.

4. Selain itu, bagi memastikan aktiviti pembalakan dilaksanakan secara teratur, pelesen perlu menyediakan Rancangan Mengusahasil Hutan (RMH) sebelum lesen dikeluarkan. Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) juga telah mengeluarkan Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia pada tahun 2016 iaitu 'Panduan Amalan Baik Hutan (Good Forest Practices) untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan' sebagai rujukan utama Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri.

5. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, aktiviti penguatkuasaan dalam HSK dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri di Semenanjung berdasarkan peruntukan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. Manakala di Sabah dan Sarawak, aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan di bawah peruntukan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968) oleh Jabatan Perhutanan Sabah dan berdasarkan peruntukan di bawah Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) oleh Jabatan Hutan Sarawak.

6. Ahli Yang Berhormat turut bertanyakan tentang penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri. Dalam hubungan ini, Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan penubuhan Majlis Tanah Negara (MTN) sebagai platform perundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri dalam sektor tanah, perlombongan dan perhutanan.

Sekian, terima kasih.

Attachments