Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

30 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

1

Soalan

PUAN HAJAH NURIDAH BINTI MOHD SALLEH minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan status penambahan perjawatan Pegawai Unit Pengurusan Pusaka Kecil dalam usaha menyelesaikan isu lambakan kes pusaka yang sudah lama tertangguh di negara ini. ​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Pihak Kementerian mengambil maklum akan keperluan penambahan perjawatan pegawai di Unit-unit Pembahagian Pusaka bagi mengatasi isu lambakan kes sedia ada. Pihak Kementerian telah membuat rasionalisasi penempatan pegawai dari Unit Pasukan Petugas Khas (Task Force) yang bertanggungjawab dalam menangani urusan pentadbiran tanah di bawah waran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) untuk digerakkan bagi membantu menjalankan perbicaraan kes pusaka kecil selain mengadakan perancangan kerjasama dan libat urus (engagement) dengan Kerajaan-kerajaan Negeri bagi mendapatkan bantuan yang sama.

2. Selain itu, Kementerian juga telah melancarkan “Program Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka" di peringkat negeri bagi menangani isu yang dihadapi rakyat secara langsung di lapangan dengan kerjasama kerajaan negeri yang turut melibatkan ketua-ketua komuniti setempat. Program pertama telah dilancarkan bagi peringkat Negeri Kedah pada 14 Februari 2022 mengambil kira jumlah bebanan tunggakan yang tinggi di negeri tersebut dengan fokus permulaan diberikan kepada Daerah Sik. Program ini akan dipanjangkan ke negeri lain pada masa akan datang.

3. Sebagai langkah jangka masa pendek bagi menangani kes tunggakan sedia ada,  Kementerian telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi lantikan pegawai secara kontrak dengan menggunakan bajet sedia ada Kementerian. Pengambilan tersebut sekiranya diluluskan akan dibuat dalam masa terdekat dan lantikan ini akan melibatkan pegawai yang menjalankan perbicaraan dan juga kakitangan sokongan bagi pemprosesan kes-kes sedia ada.

Sekian, terima kasih.

Attachments