Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

30 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

79

Soalan

​​DATUK BOBBEY BIN SUAN minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan sejauh manakah pemantauan Kementerian terhadap aktiviti pembalakan di kawasan hutan khasnya di kawasan yang digazet sebagai hutan simpanan dan tindakan yang diambil terhadap kes-kes pelanggaran.​

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Aktiviti pembalakan di negara ini melibatkan tiga kawasan iaitu Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran, Tanah Kerajaan dan Tanah Berimilik. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pembalakan Hutan Pengeluaran dalam HSK dilaksanakan secara terkawal melalui Catuan Tebangan Tahunan (CTT) berdasarkan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM) serta Sistem Pengurusan Memilih (Selective Management System - SMS).

2. Kadar CTT bagi setiap negeri diputuskan dalam Majlis Tanah Negara (MTN) dan berkuatkuasa untuk tempoh setiap Rancangan Malaysia Lima Tahun. Penetapan CTT adalah berasaskan kepada keupayaan pemulihan semula jadi (natural regeneration capacity) kawasan yang diusaha hasil. Setiap Kerajaan Negeri perlu mematuhi kadar CTT yang telah ditetapkan dan pematuhan terhadap CTT dilaporkan dalam mesyuarat MTN.

3. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-71 yang bersidang pada 14 Disember 2015, telah bersetuju dengan penetapan CTT seluas 1,234,440 hektar bagi sepanjang tempoh RMKe-11. Dalam tempoh tahun 2016 hingga 2020, jumlah keluasan hutan pengeluaran dalam HSK yang telah diusahasil adalah seluas 890,570 hektar. Ini menunjukkan aktiviti pengusaha hasilan yang dilaksanakan tidak melebihi jumlah CTT yang telah ditetapkan. Manakala, CTT yang ditetapkan bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) ialah seluas 1,163,550 hektar, berkurangan sebanyak 70,890 hektar berbanding  jumlah CTT RMKe-11.

4. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri, memandang serius isu pembalakan haram khususnya dalam kawasan HSK. Sepanjang tempoh tahun 2020 hingga 2021, sebanyak 272 kes pembalakan haram telah direkodkan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 111 kes direkodkan di Semenanjung, 35 kes direkodkan di Sabah dan 129 kes direkodkan di Sarawak. Penjenayah yang melakukan kesalahan tersebut telah diambil tindakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] bagi Semenanjung Malaysia, melalui Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) bagi Sarawak dan bagi Sabah pula tindakan diambil dibawah Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968).

5. Selain itu, KeTSA melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menggunakan sistem Forest Monitoring using Remote Sensing (FMRS) bagi membantu pasukan rondaan dan operasi penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti kesalahan hutan di lapangan dengan maklumat lokasi yang lebih spesifik. Sistem FMRS ini menggunakan teknologi Geographic Information System (GIS) dan penderiaan jarak jauh yang boleh mengesan sebarang perubahan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK). Antara maklumat yang terdapat dalam sistem FMRS adalah kelas fungsi hutan, sempadan HSK, imej satelit beresolusi tinggi, maklumat koordinat, lesen pembalakan dan permit penggunaan. Setiap anggota penguatkuasa mempunyai akses kepada sistem FMRS dan ini membolehkan aktiviti pengesanan dan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih pantas berbanding dengan kaedah pemantauan di lapangan.

Sekian, terima kasih.

Attachments