Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

31 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

2

Soalan

TAN SRI DATO' SERI MOHD RADZI BIN TAN SRI SHEIKH AHMAD minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan adakah negara kita mempunyai pelan komprehensif tentang penggunaan tenaga solar memandangkan negara kita mempunyai sumber cahaya matahari yang tinggi. ​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER) yang dilancarkan pada 30 Disember 2021 lalu telah mengenal pasti sumber solar sebagai salah satu sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang akan dibangunkan bagi meningkatkan campuran kapasiti terpasang TBB dalam pembekalan elektrik negara kepada 31% menjelang tahun 2025 dan 40% menjelang tahun 2035. Melalui Usaha peralihan tenaga atau energy transition yang dilakukan Kerajaan ini, sumber TBB bakal membentuk lebih 1/3 daripada sumber bahan api dalam penjanaan elektrik negara.

2. Kapasiti solar dijangka akan mencecah 4,796MW berbanding anggaran permintaan puncak berjumlah melebihi 20,000MW menjelang tahun 2025 dan 7,280MW berbanding anggaran permintaan puncak berjumlah 24,000MW menjelang tahun 2035. Sumber solar akan menjadi sumber penjanaan TBB utama selepas sumber hidro. Mengambil kira potensi dan faktor limpahan ekonomi, pembangunan sumber solar akan didukung oleh empat strategi pemangkin sebagai pemboleh daya ke arah usaha peningkatan kapasiti TBB negara serta pengurangan pelepasan karbon dioksida. Empat strategi pemangkin tersebut adalah:

i) memanfaatkan peluang dalam pasaran bekalan elektrik (leveraging electricity market reform for RE opportunities);

ii) menambah baik akses kepada pembiayaan (improve access to financing);

iii) pembentukan modal insan dan pembangunan infrastruktur (shape human capital and infrastructure); dan

iv) peningkatan keanjalan sistem grid pembekalan elektrik (increase system flexibility).

3. Sehingga kini, kapasiti solar sebanyak 1,800MW yang telah ditawarkan dari tahun 2011-2020 di bawah program seperti Program Solar Berskala Besar (LSS) dan Skim Tarif Galakan (FiT) dan Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) telah pun beroperasi dan menyumbang 4.6% TBB dalam pembekalan elektrik negara.

4. Dalam menentukan kapasiti penjanaan elektrik negara termasuk TBB, Kerajaan melalui Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik 2020–2039 (Power Development Plan – PDP 2020-2039) telah menetapkan pertambahan kapasiti solar sebanyak 1,178MW dari tahun 2020 hingga tahun 2025. Sumbangan sumber solar dalam kapasiti penjanaan elektrik dijangka akan meningkat kepada kira-kira 10% pada tahun 2025 dan kira-kira 15% menjelang tahun 2035.

5. Dalam hubungan ini, Kerajaan juga telah menawar sebanyak 500MW telah ditawarkan melalui Program NEM 3.0. Baki sebanyak kira-kira 400MW akan ditawarkan sehingga tahun 2025 melalui Program-program TBB yang lain yang sedang dimuktamadkan Suruhanjaya Tenaga. Manakala bagi kuota solar berjumlah kira-kira 2,500MW lagi akan ditawarkan sehingga tahun 2035.

6. Kerajaan sememangnya komited untuk membangunkan industri TBB di Malaysia termasuk bagi sumber solar. Berdasarkan unjuran MyRER, pembangunan industry TBB di negara ini akan menghasilkan limpahan ekonomi dengan mewujudkan potensi nilai pelaburan berjumlah RM33bilion serta mewujudkan lebih daripada 46,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan dalam industri TBB negara.

Sekian, terima kasih.

Attachments