Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

31 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

15

Soalan

PUAN LIM HUI YING minta TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan isu pembalakan haram yang semakin berleluasa serta apakah perancangan ataupun strategik yang diambil oleh Kerajaan untuk menangani kes tersebut.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, dakwaan yang menyatakan bahawa pembalakan haram di hutan simpan semakin berleluasa adalah tidak benar. Jumlah kes pembalakan haram di Malaysia dari tahun 2011 hingga 2021 adalah sebanyak 1,298 kes, yang menunjukkan trend penurunan iaitu daripada 259 kes pada tahun 2019 kepada 134 kes pada tahun 2021. Kesemua kes tersebut telah diambil tindakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968) di Sabah.

2. Walau bagaimanapun sebagai langkah jangka masa panjang untuk menangani isu pembalakan haram, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sedang melaksanakan pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. Cadangan pindaan ini telah melalui bacaan pertama pada 3 Mac 2022 semasa Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Keempat Belas di Dewan Rakyat.

3. Antara pindaan utama dalam cadangan pindaan Akta 313 melibatkan peruntukan baharu untuk menangani kes pembalakan haram adalah seperti berikut:

a) Memantapkan penguatkuasaan hutan

i) pegawai perhutanan persekutuan boleh diberikan kuasa secara bertulis oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk membantu PBN dalam menjalankan kuasa penguatkuasaan di lapangan;

ii) memberi kuasa kepada pegawai hutan untuk membuat pemeriksaan ke atas orang yang disyaki dan mengadakan sekatan jalan ke atas pengangkut yang disyaki melakukan kesalahan hutan; dan

iii) memperkenalkan elemen 'anggapan' bagi mana-mana individu, jentera, peralatan atau pengangkut yang berada di dalam/bersebelahan HSK atau Tanah Kerajaan di mana berlakunya tempat pengambilan hasil hutan tanpa lesen dianggap telah mengambil hasil hutan atau melakukan kesalahan hutan itu.

b)  Meningkatkan kadar denda dan hukuman ke atas kesalahan hutan sebagai satu usaha pencegahan (deterrence) kepada masyarakat supaya tidak melibatkan diri dalam jenayah kesalahan hutan dengan;

i) meningkatkan kadar denda maksimum sehingga 10 kali ganda daripada RM500 ribu kepada RM5 juta ringgit; dan

ii) meningkatkan hukuman penjara maksimum daripada 5 tahun hingga 20 tahun kepada 7 hingga 20 tahun.

Sekian, terima kasih.

Attachments