Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

31 March 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Biodiversiti, PERHILITAN

Nombor Soalan

64

Soalan

DATUK TEO ENG TEE @ TEO KOK CHEE minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan bagaimanakah Kementerian memastikan ekologi harimau selamat daripada sebarang bentuk ancaman pembalakan dan pencerobohan hutan yang berleluasa kebelakangan ini.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah menerajui tindakan-tindakan luar biasa (extraordinary actions) bagi konservasi Harimau Malaya dan habitatnya bagi tempoh 10 tahun mulai 2021 hingga 2030 selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021. Antara tindakan tersebut termasuklah bekerjasama dengan Tiger Range States (TRS) iaitu Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu bagi mengukuhkan habitat Harimau Malaya melalui pengurusan guna tanah yang mampan dan membanteras kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram.

2. Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya atau National Tiger Conservation Task Force (MyTTF) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan dianggotai YAB Menteri-menteri Besar TRS serta YB Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan yang berkaitan juga telah ditubuhkan bagi menunjukkan kesepakatan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam konservasi Harimau Malaya dan habitatnya. Antara perkara yang telah dipersetujui pada Mesyuarat Pertama MyTTF pada 10 Januari 2022 adalah seperti berikut:

i) mempergiatkan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground) melibatkan Jabatan PERHILITAN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta komuniti Orang Asli;

ii) memelihara dan memulihara habitat semula jadi dengan meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia dari 43.41% kepada 50% menjelang tahun 2040 selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4);

iii) memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Jabatan PERHILITAN dan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM bagi mengekang aktiviti pencerobohan dan jenayah hidupan liar;

iv) memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation yang sedia ada dan melaksanakan skim akreditasi habitat Harimau Malaya; dan

v) melaksanakan kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakan strategik.

3. Di samping itu, pindaan ke atas Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] yang telah diwartakan pada 10 Februari 2022 akan dikuatkuasakan mulai Julai 2022 bagi mengukuhkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar. Antara pindaan yang dibuat termasuk meningkatkan denda maksimum daripada RM500,000.00 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun supaya dapat mencegah dan memberikan pengajaran sewajarnya kepada pelaku jenayah hidupan liar.

Sekian, terima kasih.

Attachments