Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

60

Soalan

​​DR. WAN MARTINA BINTI WAN YUSOFF minta MENTERI TEN​AGA DAN SUMBER ASLI menyatakan adakah Kerajaan berhasrat untuk memberi inisiatif khas kepada negeri-negeri yang menjadi penyumbang utama kepada kelestarian alam sekitar dengan menyimpan hutan atau mewarta hutan simpan.​

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) pada tahun 2019 sebagai satu bentuk insentif kepada Kerajaan-kerajaan Negeri bagi melindungi dan memulihara kawasan perlindungan (protected areas - PA). EFT menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam konservasi biodiversiti serta menggalakkan Kerajaan Negeri mewartakan kawasan perlindungan yang merupakan elemen penting bagi perkhidmatan ekosistem (ecosystem services) termasuk sebagai kawasan tadahan air dan perlindungan hidupan liar.

2. Sejak diperkenalkan pada tahun 2019 melalui Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 27 Mei 2019, sebanyak RM60 juta telah diagihkan pada tahun 2019 dan RM70 juta pada tahun 2021 kepada Kerajaan-kerajaan Negeri melalui Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP). Peruntukan EFT berjumlah RM70 juta akan disediakan dan diagihkan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri pada tahun 2022 sebagai satu bentuk pemberian khusus di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA). Mekanisme pelaksanaannya telah diperkukuhkan melalui kriteria ekologi berasaskan keberhasilan.

3. Selain itu, Mekanisme Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation (REDD Plus) telah dibangunkan di bawah United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) bertujuan untuk memberikan nilai kewangan terhadap penyerapan karbon oleh hutan serta menawarkan insentif kepada negara-negara membangun bagi mengekalkan hutan dan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) daripada aktiviti perhutanan. KeTSA pada masa ini sedang memuktamadkan Kerangka Kewangan REDD Plus atau REDD Plus Finance Framework (RFF) yang merupakan satu inisiatif kewangan kepada Kerajaan Negeri bagi melaksanakan aktiviti mengekalkan dan memulihara hutan serta menjamin ekosistem hutan yang berterusan. Bagi melaksanakan pengoperasian RFF, KeTSA juga telah menubuhkan sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) iaitu Malaysia Forest Fund atau MFF.

Sekian, terima kasih.

Attachments