Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

20 July 2022

Tahun Persidangan

2022

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

9

Soalan

TUAN ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN (KUALA KRAI) minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah langkah Kementerian untuk melindungi rakyat bagi ​berhadapan dengan krisis tenaga global yang menyebabkan peningkatan kos harga bahan ​api.​​​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

1. Pelarasan tarif elektrik melalui mekanisme Pelepasan Kos – Kos Tidak Seimbang (ICPT) disemak setiap enam bulan sekali dengan mengambil kira kos bahan api dan penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang. Dalam hal ini, kos ICPT bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 adalah sebanyak RM7 bilion bersamaan kadar surcaj 11.81 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Julai hingga Disember 2022.

2. Sebagai langkah mitigasi jangka pendek bagi melindungi rakyat yang berhadapan dengan krisis tenaga global, Kerajaan pada 24 Jun 2022 telah bersetuju untuk menampung subsidi elektrik berjumlah RM5.8 bilion bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022 meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api di pasaran global. Ini bermakna, pengguna-pengguna domestik kekal menerima rebat 2 sen/kWj dan pengguna-pengguna bukan domestik kekal dikenakan surcaj 3.70 sen/kWj berbanding kadar surcaj ICPT sebenar iaitu 11.81 sen/kWj. Dalam hal ini, semua pengguna di Semenanjung akan membayar bil elektrik pada kadar yang sama seperti dibayar sepanjang enam bulan pertama tahun ini berdasarkan penggunaan elektrik masing-masing.

3. Namun begitu, berdasarkan analisis daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), harga bahan api di pasaran global masih kekal tinggi berikutan impak peperangan di antara Rusia dan Ukraine sejak Mac 2022 dan permintaan bahan api arang batu yang tinggi daripada negara-negara luar. Bagi mengatasi krisis tenaga dan kos ICPT yang dijangka meningkat, Kementerian telah merancang beberapa pelan mitigasi jangka panjang, antaranya mengutamakan bahan api yang paling murah (least cost dispatch) untuk penjanaan elektrik dan seterusnya akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar untuk tempoh kitaran ICPT yang akan datang.

4. Selain itu, Kementerian juga telah menyediakan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka masa panjang yang menetapkan hala tuju bagi perancangan pembekalan elektrik negara antaranya adalah dengan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import seperti arang batu secara berperingkat serta meningkatkan campuran tenaga boleh baharu kepada 31% pada tahun 2025 dan 40% pada tahun 2035 sebagaimana sasaran yang ditetapkan di bawah Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER).

5. Seterusnya, Kementerian juga akan terus melaksanakan pelan komunikasi yang komprehensif dan mudah difahami oleh rakyat. Sebagai langkah awal, mulai Julai 2022, jumlah subsidi bil elektrik yang ditampung oleh Kerajaan akan dipaparkan dalam bil elektrik bulanan setiap pengguna supaya rakyat memahami dan menghargai subsidi ditanggung oleh Kerajaan bagi seunit elektrik yang digunakan.

6. Selain itu juga, Kementerian dengan kerjasama kementerian-kementerian lain yang berkaitan, ST, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan meneruskan usaha-usaha mengenai kempen kesedaran dan penjimatan penggunaan elektrik di media sosial, media cetak dan lain-lain platform yang bersesuaian sebagai langkah memupuk penggunaan tenaga elektrik yang cekap di kalangan pengguna seterusnya dapat membantu mengurangkan kos operasi syarikat serta perbelanjaan isi rumah, terutama ketika negara dan dunia dilanda ketidaktentuan ekonomi pada masa ini.

Sekian, terima kasih.

Attachments
DR L9 20.07.2022 - Abdul Latiff Abdul Rahman [Kuala Krai].pdf