Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sentiasa komited dalam memastikan industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dilaksanakan berdasarkan prinsip kebertanggungjawaban dan kemampanan. Sehubungan itu, KeTSA telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak bagi membangunkan Projek Perintis Perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak. Projek ini akan dilaksanakan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE Negeri Perak yang merangkumi semua perundangan yang sedang berkuatkuasa seperti Akta Pembangunan Mineral 1994, Enakmen Mineral (Perak) 2003, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Pematuhan kepada SOP ini akan dipantau secara berkala sepanjang pelaksanaan projek perintis ini.
2. Dokumen SOP yang dibangunkan ini telah diperhalusi oleh Jawatankuasa Eksekutif yang terdiri daripada individu yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan perlombongan, hidrologi, hidrogeologi dan pembangunan lestari serta turut disertai oleh wakil daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan penggiat industri. Dokumen ini dijadikan sebagai rujukan oleh semua agensi kerajaan dan penggiat industri khususnya di Negeri Perak bagi memastikan industri ini mampu memberikan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
3. Walaupun kelulusan-kelulusan yang diperlukan untuk pelaksanaan projek perintis telah diperolehi, sehingga kini projek tersebut masih belum menjalankan sebarang aktiviti perlombongan. Hal ini kerana, pada masa ini pihak pengusaha lombong tersebut masih perlu menjalankan kerja-kerja pembangunan infrastruktur di kawasan tapak tersebut sebelum aktiviti perlombongan NR-REE boleh dijalankan. Berdasarkan perancangan, aktiviti perlombongan dijangka dapat dimulakan seawal bulan Ogos 2022 dan hasil pertama dijangka dapat dikeluarkan pada bulan November 2022.
4. Mengambil kira status projek ini sebagai projek perintis, Kementerian akan memastikan kawal selia yang rapi dibuat dengan menubuhkan jawatankuasa pemantau serta melantik penilai bebas bagi membuat pemantauan berkala serta membuat penilaian impak terhadap pelaksanaan aktiviti projek perintis. Penilaian ini melibatkan faktor-faktor utama seperti keselamatan penggunaan kaedah in-situ leaching, penilaian terhadap sumber air bawah tanah dan air permukaan, penilaian kondisi tanah dan tanaman, kos pengeluaran mineral, impak limpahan ekonomi setempat dan kesihatan masyarakat di sekitar kawasan projek.
5. Pada masa ini, terdapat beberapa buah negeri lain seperti Kedah, Pahang, Kelantan dan Terengganu yang turut menunjukkan minat untuk melaksanakan aktiviti perlombongan NR-REE. Sehubungan itu, sekiranya Kerajaan mendapati SOP ini mampu mengawal selia aktiviti perlombongan di projek perintis tersebut dengan baik dan memberikan kesan yang minimum kepada alam sekitar, Kementerian berhasrat untuk memperluaskan pemakaiannya ke negeri-negeri lain bagi membolehkan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan. Bagi tujuan tersebut, Kementerian sedang dalam tindakan untuk menyediakan SOP NR-REE Malaysia berdasarkan kepada SOP yang disediakan untuk Negeri Perak.
6. Selain itu, Kementerian juga sedang bekerjasama dengan Akademi Sains Malaysia dalam usaha untuk membangunkan model perniagaan bagi industri NR-REE. Kajian akan dijalankan untuk meneliti ekosistem yang dapat menyokong pembangunan industri berkaitan mineral tersebut yang merangkumi setiap peringkat dalam rantaian nilai. Setelah kajian dilengkapkan kelak, Kementerian akan menggabungkan maklumat yang diperoleh dalam pelaksanaan projek perintis dan kajian pembangunan model perniagaan tersebut untuk menilai keupayaan negara dalam industri NR-REE ini.
7. Kementerian yakin langkah-langkah yang telah digariskan adalah selaras dengan prinsip dan kehendak yang disasarkan di bawah Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goal 2030 – SDG 2030). Hal ini adalah bagi memastikan industri mineral negara dimajukan dengan mematuhi prinsip kemampanan dan kelestarian alam sekitar di mana ia mengambil kira pertimbangan berasaskan perlombongan yang bertanggungjawab, mampan, kompetensi, nilai tambah produk, mematuhi norma industri standard tinggi, pengendalian sumber mineral strategik dan kecekapan sumber.
Sekian, terima kasih.