Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah melaksanakan beberapa tindakan bagi menangani konflik hidupan liar terutamanya spesies kera dan babi hutan melalui kaedah-kaedah seperti berikut:
(a) menjalankan program penakaian hidupan liar di kawasan yang berisiko;
(b) menjalankan program bersepadu dengan agensi seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung bagi membasmi musuh tanaman;
(c) menjalankan program pemasangan perangkap komuniti bagi tujuan menangkap hidupan liar konflik; dan
(d) menyediakan program kontrak menangkap hidupan liar konflik melalui pemasangan perangkap dengan kerjasama pihak swasta.
2. Pada masa ini, KeTSA berpandangan tiada keperluan untuk menggubal satu rang undang-undang yang berkaitan bagi membenarkan pengusaha kebun buah-buahan memiliki dan menggunakan Air Gun untuk mengawal kebun tanaman mereka daripada gangguan hidupan liar kerana perundangan sedia ada sudah memadai.
3. Peruntukan Seksyen 54, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] menjelaskan bahawa pemunya ladang atau penduduk tanah boleh menangkap atau membunuh hidupan liar untuk melindungi tanaman mereka. Walau bagaimanapun, kebenaran untuk menangkap dan membunuh hidupan liar konflik ini adalah tertakluk kepada beberapa syarat yang perlu dilakukan oleh pemunya ladang atau penduduk tanah seperti berikut:
(a) berusaha secara munasabah untuk menakutkan hidupan liar terlebih dahulu sebelum tindakan menangkap dan membunuh dijalankan;
(b) jika hidupan liar berhenti membuat kerosakan, hidupan liar itu tidak boleh ditangkap atau dibunuh;
(c) melaporkan kepada Jabatan PERHILITAN yang berhampiran tanpa kelengahan mengenai butir-butir kejadian menangkap dan membunuh hidupan liar konflik termasuk spesies hidupan liar terlibat, jenis kerosakan, jenis senjata yang digunakan dan tindakan yang telah dilakukan sama ada hidupan liar ditangkap atau dibunuh; dan
(d) hidupan liar yang ditangkap atau dibunuh hendaklah menjadi harta Negeri dan tanpa kelengahan diserahkan kepada pegawai Jabatan PERHIITAN.
4. Selain itu, peruntukan Seksyen 9 Akta 716 menjelaskan bahawa hidupan liar yang dilindungi seperti kera dan babi hutan boleh diburu tertakluk kepada kelulusan permohonan lesen di bawah seksyen 12 dan 14 Akta 716. Dalam hal ini, pemunya ladang atau penduduk tanah boleh mengemukakan permohonan lesen bagi tujuan memburu hidupan liar tersebut.
5. Di samping itu, pegawai Jabatan PERHILITAN turut diberi kuasa di bawah peruntukan Seksyen 52 Akta 716 untuk memburu mana-mana hidupan liar yang berbahaya kepada nyawa atau harta manusia.
Sekian, terima kasih.